Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Sains dan Teknologi Meluluskan Pelan Tindakan ASEAN 2016-2025

​Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Divisyen Penyelarasan Polisi dan Pelan Strategik | Sabtu, 7 November 2015

IMG_3385_.JPG AWANG Haji Marzuke bin Mohsin (kiri), Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Kementerian Pembangunan mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke AMMST-16.

VIENTIENE, REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT LAOS, 4-6 November. - Adaptasi dan pengesahan pelan baru ASEAN Plan of Action on Science, Technology and Innovation 2016-2025 (APASTI 2016-2025) merupakan satu pencapaian terpenting bagi ASEAN COST dalam menyokong aspirasi pemimpin-pemimpin ASEAN ke arah pembentukan Komuniti ASEAN pada hujung tahun 2015. Menteri-Menteri Sains dan Teknologi ASEAN hari ini mengadakan pertemuan di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos untuk mengadaptasikan APASTI 2016-2025 bagi menjamin komitmen Jawatankuasa Sains dan Teknologi ASEAN (ASEAN COST) ke arah pembangunan sains dan teknologi untuk jangka masa 10 tahun akan datang selaras dengan agenda dan tindakan pasca 2015 Komuniti Ekonomi ASEAN. Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Ke-16 mengenai Sains dan Teknologi (AMSST-16) yang dianjurkan oleh Kementerian Sains dan Teknologi, Republik Demokratik Rakyat Laos di Don Chon  Palace Hotel telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Thongloun Sisoulith, Timbalan Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos. Mesyuarat ASEAN COST yang dipengerusikan oleh negara tersebut adalah tepat pada masanya kerana negara itu akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dan juga sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2016.

APASTI baru ini menggariskan empat teras strategik penting dan lima tindakan utama yang akan membimbing ASEAN COST ke arah meningkatkan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serantau dan integrasi negara-negara ASEAN. Teras-teras strategik akan memberikan tumpuan ke arah pengukuhan dan sokongan kerjasama strategik di antara ahli akademik dan sektor swasta bagi pembinaan keupayaan, pemindahan teknologi dan pengkomersilan; meningkatkan pergerakan kapasiti dan interaksi di antara masyarakat terutamanya bagi wanita dan belia di STI; mewujudkan perkongsian pintar dengan rakan-rakan dialog untuk membimbing perusahaan-perusahaan STI bagi pengusaha-pengusaha mikro, kecil, dan sederhana, pembentukan ilmu dan meningkatkan daya saing; dan akhirnya meningkatkan kesedaran orang ramai dan mengukuhkan pembudayaan STI untuk meningkatkan kerjasama sains dan teknologi ASEAN. Dalam usaha untuk memastikan kerjasama ke arah mencapai teras strategik APASTI ini, mesyuarat juga menyampaikan tugasan kepada beberapa Jawatankuasa Kecil untuk membangunkan pelan kerja pelaksanaan seterusnya bagi menyokong pelaksanaan APASTI baru yang dijangka akan disahkan oleh Menteri-Menteri Sains dan Teknologi ASEAN di Kemboja pada tahun hadapan.

APASTI 2016-2025 menekankan komitmen ASEAN COST dalam penyusunan semula urus tadbir COST serta mengemaskini semua aktiviti-aktiviti selaras dengan saranan daripada pasukan petugas peringkat tinggi dalam memperkukuhkan Sekretariat ASEAN dan mengkaji ASEAN Organs yang mana telah disokong oleh para pemimpin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 di Kuala Lumpur pada tahun ini. APASTI baru ini juga akan meneroka dan memperluaskan bidang utama baru bagi Jawatankuasa Kecil dan bidang tumpuan strategik bagi kerjasama, sumber dan mobilisasi rakan-rakan dialog, dan akhirnya menetapkan Key Performance Indicator (KPI) bagi pelaksanaan projek-projek.

Sebelum AMMST-16, Jawatankuasa Sains dan Teknologi ASEAN ke-70 (COST-70) telah mengadakan perjumpaan dan mesyuarat rakan-rakan dialog dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Mesyuarat berkenaan menyaksikan majlis penyerahan Pengerusi ASEAN COST dari Indonesia kepada Republik Demokratik Rakyat Laos yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Profesor Ainum Naim, Ketua Setiausaha Kementerian Penyelidikan, Teknologi, dan Pengajian Tinggi Indonesia kepada Tuan Yang Terutama Houmpanh Intharan, Timbalan Menteri Sains dan Teknologi Republik Demokratik Rakyat Laos.

Semasa mesyuarat COST-70, projek yang dilaksanakan oleh Thailand pada ASEAN Crowd Funding Workshop telah diluluskan dan disahkan penemuan kajian ASEAN Talent Mobility serta menyokong penubuhan ASEAN Talent Mobility Platform. Dari segi pengukuhan kerjasama dalam bidang S&T dengan rakan-rakan dialog, ASEAN dan Amerika Syarikat meluluskan cadangan US-ASEAN Women's Science Prize dan program US-ASEAN Youth Innovation Challenge dengan objektif untuk menggalakkan penyertaan golongan wanita dan para belia dalam S&T.  Semasa sidang terbuka ASEAN COST-70 bersama Jepun, mesyuarat itu telah meluluskan projek yang dilaksanakan oleh Jepun iaitu Japan-ASEAN Joint Research Center (JRC), Japan-ASEAN STI Platform (JASTIP), dan Exchange Program for Young ASEAN Officials Working in STI. Bagi membiayai projek-projek di bawah JRC, Kerajaan Jepun akan menanggung kos sehingga 100 juta yen untuk tempoh lima tahun bagi kerjasama projek-projek R&D di antara ASEAN dan Jepun iaitu dalam bidang alam sekitar dan tenaga, sumber-sumber bio, dan pencegahan bencana.

Mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat ini ialah Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin, Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, yang juga mewakili Menteri Pembangunan di AMMST-16. Ia dihadiri sama oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan.

Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Sains dan Teknologi dilihat sebagai komitmen tinggi oleh negara-negara anggota ASEAN dalam mengukuhkan kerjasama bagi menyelesaikan masalah serantau melalui aplikasi sains dan teknologi ke arah membangun Komuniti ASEAN pada akhir tahun 2015. Brunei Darussalam akan terus mengukuhkan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam bidang S&T untuk mendapatkan manfaatnya serta menyokong agenda nasional dalam pembangunan Negara Brunei Darussalam dengan sokongan daripada pelbagai pihak-pihak berkepentingan (stakeholders) dan agensi-agensi di negara ini.

Attachments