Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Jangan lakukan pembakaran terbuka, elak jerebu

Siaran Akhbar Bersama: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan; Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Kementerian Kesihatan; Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam; Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 September. – Negara Brunei Darussalam pada masa ini mengalami keadaan berjerebu. Keadaan ini adalah disebabkan oleh sejumlah titik panas akibat dari kebakaran hutan dan lahan yang berlaku di Kepulauan Borneo, yang dibawa oleh angin perlahan dari Barat Daya (Southwesterly) menuju ke Negara Brunei Darussalam.

Imej satelit yang diterima dari ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 7 September 2019, menunjukkan sebanyak 518 titik panas telah dikesan di sebelah Selatan dan Barat kepulauan Borneo.

Kualiti udara yang dicatatkan di semua stesen pemantauan kualiti udara (Bahan Partikulat 10) di keempat-empat daerah adalah tinggi berbanding dengan hari-hari biasa. Kualiti udara bagi Negara Brunei Darussalam keseluruhannya adalah di tahap baik ke sederhana.

Bacaan indeks pencemaran (PSI) bagi Sabtu, 7 September 2019 pada jam 4.00 petang bagi Daerah Brunei Muara ialah di tahap sederhana, 53. Manakala di Daerah Belait, bacaan PSI juga dicatatkan sederhana, 67. Begitu juga di Daerah Tutong, bacaan PSI dicatatkan sederhana, 61. Sementara di Daerah Temburong, bacaan PSI dicatatkan baik, 37.

1_Jangan lakukan pembakaran terbuka, elak jerebu.jpg

Bacaan PSI kurang daripada 50 menandakan keadaan kualiti udara baik. Bacaan PSI di antara 50 dan 100 adalah sederhana.

Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai bahawa pada bacaan PSI sederhana (di antara 50 dan 100), bagi yang tidak mempunyai masalah kesihatan bolehlah melakukan aktiviti luar manakala kanak-kanak, warga tua dan individu yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) akan sentiasa terus memantau situasi dari semasa ke semasa. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai dengan kualiti udara melalui stesen-stesen radio Radio Televisyen Brunei dan laman sesawang Jabatan.

Dalam pada itu, orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan terjadinya kebakaran rumpun dan hutan. Orang ramai juga adalah digesa untuk melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat jika terjadinya kebakaran rumput dan hutan di talian Hotline 995.

Orang ramai bolehlah menghubungi JASTRe untuk aduan pembakaran terbuka dan pertanyaan mengenai dengan kualiti udara di Talian Darussalam 123 dan +673 2241262 sambungan 4405 semasa waktu bekerja.

Maklumat mengenai bacaan PSI juga boleh didapati di laman sesawang www.env.gov.bn, manakala maklumat dan nasihat kesihatan juga boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.moh.gov.bn.

Maklumat mengenai ramalan kaji cuaca juga boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui laman sesawang www.met.gov.bn.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments