Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Hadiri upacara pemakaman Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie

Siaran Akhbar: Kementerian Pembangunan

1_Hadiri upacara pemakaman Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar ketika menghadiri upacara pemakaman mantan Presiden Republik Indonesia ke-3, Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie, di Taman Makam Pahlawan Nasional Utama Kalibata, Jakarta Selatan, Republik Indonesia.

JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, Sabtu, 14 September. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar yang sedang menghadiri Conference ASEAN Federation of Engineering Organisations (CAFEO) kali ke-37 di Jakarta, Republik Indonesia mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menghadiri Upacara Pemakaman negara Mantan Presiden Republik Indonesia Ke-3, Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie, yang meninggal dunia pada usia 83 tahun di Rumah Sakit Pusat Angkatan Darat (RSPAD) di Jakarta Pusat pada Rabu, 11 September.

Turut hadir ke pemakaman negara tersebut, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Yussof bin Haji Abd. Rahman.

Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie merupakan seorang jurutera terkemuka, lahir pada 25 Jun 1936, memegang jawatan sebagai Menteri Penyelidikan dan Teknologi selama 20 tahun di bawah pemerintahan Presiden Soeharto.

Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie mengambil alih jawatan Presiden selepas peletakan jawatan Soeharto pada bulan Mei 1998 dan berkhidmat sehingga pilihan raya baharu diadakan pada tahun 1999. Beliau mengetuai peralihan dan pilihan raya bebas, kebebasan akhbar, 'decentralization' dan 'pluralism'.

Pemakaman negara itu telah diadakan di Taman Makam Pahlawan Nasional Utama Kalibata, Jakarta Selatan pada Khamis, 12 September yang diketuai oleh Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Ir. Joko Widodo.

Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia menjalinkan hubungan diplomatik dua hala sejak tahun 1984 dan walaupun kedua-dua negara tidak berkongsi sempadan tanah secara langsung, Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia berkongsi kepulauan Borneo.

Sejak hubungan diplomatik diwujudkan, kedua-dua negara menikmati hubungan yang kuat dalam spektrum kerjasama yang luas termasuk perdagangan dan pelaburan; pelancongan; pertanian; marin dan perikanan; kesihatan; pertahanan; jenayah transnasional; pendidikan; belia; budaya dan perhubungan.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments