Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

235 orang menerima anak-anak kunci rumah di Daerah Temburong

Oleh: Siaran Akhbar Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_235 orang menerima anak-anak kunci rumah di Daerah Temburong.JPG

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan pengurniaan anak-anak kunci rumah teres di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie bagi Daerah Temburong kepada para penerima pada majlis berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Daerah Temburong.

DAERAH TEMBURONG, Isnin, 18 November. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah kepada 234 orang penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) bagi Daerah Temburong.

Majlis penyempurnaan penganugerahan anak-anak kunci berkenaan berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Daerah Temburong.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di helipad Pekan Bangar dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut menjujung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Yang Mulia Awang Abdul Ghani bin Haji Othman.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Yang Mulia Awang Haji Jamil bin Haji Ghani diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Pemangku Pegawai Daerah Temburong.

Pada majlis penganugerahan tersebut, keseluruhan 234 orang penerima dikurniakan rumah jenis teres di bawah Rancangan Perumahan Negara Rataie.

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong.

Selesai menyempurnakan majlis penganugerahan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung berangkat melawat ke Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi, Mukim Batu Apoi. Seramai 111 orang penuntut belajar di sekolah ini bermula dari Kindergarten hingga Tahun 6. Pada 23 Februari 1957, bangunan kekal 'Blok A' sekolah ini dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamallul Alam II.

Dari Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia meneruskan lawatan ke Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan, Kampong Ujung Jalan. Pos kawalan yang mula beroperasi pada 24 April 2012 ini menempatkan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja, Jabatan Polis Diraja Brunei, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Biro Mencegah Rasuah, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah. Dari aspek keselamatan, pos kawalan ini berperanan mengawal dan memeriksa orang-orang yang keluar dan masuk ke/dari Negara Brunei Darussalam manakala aspek kemudahan pula pos kawalan ini memberikan kemudahan perjalanan bagi orang-orang yang keluar dan masuk ke/dari negara ini.

Selesai membuat lawatan di Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan, baginda berkenan singgah ke rumah Penghulu Mukim Bokok yang juga Pemangku Penghulu Mukim Amo, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu di Kampung Meniup, Jalan Pendaruan Temada, Mukim Bokok. Dengan keramaian penduduk seramai 3,576 orang, Mukim Bokok mempunyai keluasan 14,616 hektar. Satu-satunya kawasan Skim Perumahan Negara di Daerah Temburong juga terletak di mukim ini iaitu di Kampong Rataie.

Dari kediaman Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia meneruskan lawatan ke rumah-rumah penerima anak-anak kunci di bawah Rancangan Perumahan Negara Rataie Temburong iaitu rumah Yang Mulia Dayangku Nursusila bina Pengiran Jamaludin di No. 7, Simpang 661-50-17; rumah Yang Mulia Awang Abdul Zaki bin Jambin di No. 71, Simpang 661-72; rumah Yang Mulia Awang Mohammad Joshenry bin Haji Roslee di No. 6, Simpang 661-72-42; dan akhir sekali di rumah Yang Mulia Awang Mat Daud bin Mohd Said di No. 15, Simpang 661-72-42.

Pada keluasan 106 meter persegi, setiap unit rumah teres di kawasan Rancangan Perumahan Rataie ini mempunyai tiga bilik tidur, bilik mandi dan dapur. Dengan keluasan keseluruhan 158 hektar, kawasan Rancangan Perumahan Rataie ini terdapat 603 unit rumah dimana dari jumlah berkenaan, 358 unit adalah rumah jenis teres.

Kawasan perumahan ini merupakan satu konsep pembangunan perumahan komprehensif lengkap dengan ruang tanah untuk kemudahan awam di masa hadapan seperti sekolah, masjid, taman dan kawasan rekreasi dan taman permainan.

Menurut perangkaan terkini Jabatan Kemajuan Perumahan hingga ke hari ini, lebih 28 ribu buah rumah dan lot tanah di bawah Skim Perumahan Negara seluruh negara telah dianugerahkan kepada para penerima yang berkelayakan. Dari jumlah berkenaan, 635 orang adalah pemohon dari Daerah Temburong. Permohonan mengikuti skim perumahan yang diterima di daerah ini mencatatkan jumlah yang terendah berbanding dengan daerah-daerah lain.

Dengan penyediaan perumahan di bawah Skim Perumahan Negara ini menggambarkan bahawa agenda pembangunan perumahan tersebut sentiasa menjadi perhatian Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam usaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Attachments