Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pelancaran 'One Common Billing System'

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

2_Pelancaran ‘One Common Billing System’.JPG

TETAMU kehormat majlis, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan semasa melancarkan One Common Billing System (OCBS).

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Februari. – Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Pelancaran One Common Billing System (OCBS) hari ini bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Kemajuan Perumahan.

Hadir selaku tetamu kehormat ke majlis pelancaran ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abd Rahman; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan kata-kata aluan daripada Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar dan seterusnya pengenalan mengenai OCBS oleh Pemangku Jurukira Agung di Jabatan Perbendaharaan, Dayang Hajah Chairani binti Haji Sulaiman.

1_Pelancaran ‘One Common Billing System’.JPG

PEMANGKU Pengarah Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan semasa memberikan kata-kata aluan.

Pelancaran sistem OCBS dilaksanakan bersama oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan. Majlis seterusnya menyaksikan tayangan video pengenalan mengenai OCBS.

OCBS yang dibangunkan oleh Jabatan Perbendaharaan merupakan sebuah sistem lanjutan daripada sistem ePayment Gateway (ePG) yang disediakan untuk agensi kerajaan yang tidak mempunyai sistem bil atau sistem kutipan hasil. Sistem OCBS ini akan membolehkan agensi kerajaan untuk mengutip hasil tanpa perlu membangun sistem berasingan dan memudahkan kutipan hasil yang diterima oleh kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan dengan teratur.

OCBS dilancarkan secara berperingkat dimana pada fasa pertama, sistem ini dilaksanakan secara rintis bersama dengan Jabatan Kemajuan Perumahan dan kemudiannya akan dilaratkan ke beberapa jabatan lain yang telah dikenalpasti.

3_Pelancaran ‘One Common Billing System’.JPG

TETAMU kehormat majlis, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan menyaksikan proses sistem OCBS di kaunter Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan.

Sistem ini akan memudahkan orang ramai untuk membuat pembayaran bil rumah mereka melalui pelbagai saluran seperti pembayaran atas talian dengan melayari portal OCBS dan perbankan internet dimana resit penerimaan bayaran akan dihantar melalui e-mel atau telefon bimbit pemilik rumah. OCBS juga berupaya menyediakan penjanaan bil dan membantu Jabatan Kemajuan Perumahan memantau bil-bil yang tertunggak dengan penyediaan laporan yang lengkap dan tepat.

Maklumat lanjut mengenai system ini boleh diperolehi melalui laman sesawang Kementerian Kewangan dan Ekonomi www.mofe.gov.bn.

Sumber: Siaran Akhbar Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Attachments