Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Berkenan menganugerahkan anak kunci, lot tanah.

TEMBURONG, Sabtu, 14 Mac: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah dan Rumah Teres  di Bawah Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie serta Geran-Geran Tanah di Bawah Skim Penggeranan Tapak Rumah di Atas Lesen Tumpang Sementara Bagi Daerah Temburong yang diadakan di Dewan Belalong, Dewan Kemasyarakatan, di sini.

 

Majlis penganugerahan tersebut secara langsung mendukung hasrat baginda agar setiap penduduk dan rakyat di negara ini mempunyai kemudahan dan tempat perlindungan.

 

Terdahulu, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Helipad dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah yang  seterusnya menjunjung berangkat ke Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong bagi majlis penganugerahan tersebut.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syari'ah Daerah Temburong, Awang Haji Shahrin bin Haji Kadih.

 

Pegawai Daerah Temburong dalam sembah alu-aluannya berkata, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke majlis tersebut merupakan satu anugerah serta penghormatan yang amat tinggi nilainya dan memberi makna yang amat besar kepada penerima-penerimanya.

 

Malah kurnia penganugerahan tersebut katanya, mencerminkan kepimpinan yang adil lagi bijaksana, sikap keprihatinan, pemedulian serta rasa kasih sayang Kebawah DYMM kepada rakyat baginda yang bernaung di bumi Brunei Darussalam, bumi yang bertuah lagi berdaulat.

Attachments