Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Tinjau perkembangan tapak projek-projek

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Tinjau perkembangan tapak projek-projek.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa dalam rangka lawatan kerja ke tapak Projek Pembinaan Jejambat Kampong Lugu.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 September. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar hari ini membuat lawatan kerja ke beberapa buah tapak projek yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

Sebanyak empat buah tapak projek dilawat iaitu Projek Membaikpulih Jalan Tutong Lama, Projek Pembinaan Jejambat Kampong Lugu (Projek RKN11), Projek Skim Pembaikan Dataran Banjir Sungai Tutong – Pencegahan Banjir di Sebelah Hilir Sungai Tutong (Projek RKN 11), dan Projek Skim Pembaikan Dataran Banjir Sungai Tutong – Pencegahan Banjir di Sebelah Hulu Sungai Tutong (Projek RKN 11).

Projek Membaikpulih Jalan Tutong Lama adalah salah satu projek yang masih dalam perancangan Jabatan Kerja Raya yang bertujuan untuk menaik taraf, membaiki dan melapis semula sebahagian jalan berkenaan berpandukan peruntukan yang disediakan.

Projek ini dijangka memakan masa selama 12 bulan, yang mana pada masa ini hanya menunggu kebenaran untuk dilaksanakan. Skop kerja projek ini secara amnya adalah untuk membaiki permukaan jalan yang rosak dengan membaik pulih struktur jalan, dan melapis semula sebahagian Jalan Tutong berkenaan secara keratin. Skop kerja termasuk juga pembaikan sistem saliran dan melebarkan sebahagian jalan lebih kurang 500 meter dari kawasan persimpangan Jalan Jerudong.

Projek Pembinaan Jejambat Kampong Lugu adalah termasuk dalam Rancangan Kemajuan Negara Ke-11. Projek ini dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya, manakala, Syarikat Bolton Hennessey Sdn. Bhd. adalah pakar perunding dan Syarikat Hiew HY Construction Sdn. Bhd. adalah kontraktor bagi projek ini.

2_Tinjau perkembangan tapak projek-projek.JPG

TAPAK Projek Pembinaan Jejambat Kampong Lugu.

Projek ini telah mula dilaksanakan pada November 2019 dan dijangka siap pada bulan November 2021. Kos pembinaan jejambat tersebut adalah berjumlah $12.9 juta dan akan mengambil masa selama 24 bulan untuk disiapkan.

Objektif projek ini adalah untuk menyediakan kemudahan perjalanan kepada orang ramai khususnya para penduduk di kawasan tersebut. Dengan adanya projek ini, ia akan memendekkan masa perjalanan para pengguna jalan raya untuk menuju ke Daerah Brunei dan Muara, tanpa menggunakan Jalan Tutong Lama ataupun pusingan-U Lebuhraya Muara-Tutong iaitu sejauh 6 kilometer.

Di antara skop kerja yang terkandung dalam projek ini adalah kerja-kerja menaik taraf jalan keluar masuk dari Perumahan Kampong Lugu, pembinaan jejambat, kerja-kerja tanah, pembinaan longkang konkrit, kerja-kerja menurap jalan, memasang peralatan dan perkakas keselamatan jalan raya dan melaksanakan kerja-kerja perlindungan dan pemindahan kemudahan-kemudahan asas.

3_Tinjau perkembangan tapak projek-projek.jpg

4_Tinjau perkembangan tapak projek-projek.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa dalam rangka lawatan kerja ke tapak Projek Skim Pembaikan Dataran Banjir Sungai Tutong.

Manakala Projek Skim Pembaikan Dataran Banjir Sungai Tutong – Pencegahan Banjir di Sebelah Hilir Sungai Tutong dan Projek Skim Pembaikan Dataran Banjir Sungai Tutong – Pencegahan Banjir di Sebelah Hulu Sungai Tutong berobjektif bagi mengurangi kejadian banjir di beberapa kawasan seperti Kampong Ukong, Kampong Panchong, Kampong Rambai dan beberapa kawasan lain khasnya.

Kedua-dua projek berkenaan telah mula dilaksanakan pada 15 Oktober 2018 dan dijangka siap pada 14 April 2021. Kos perbelanjaan bagi Projek Pencegahan Banjir di Sebelah Hilir Sungai Tutong adalah sebanyak $12.7 juta manakala bagi Projek Pencegahan Banjir di Sebelah Hulu Sungai Tutong sebanyak $7.8 juta dan akan mengambil masa selama 30 bulan.

Adapun objektif lawatan kerja ini adalah untuk memantau dan meneliti dengan lebih terperinci perkembangan projek-projek berkenaan dalam memastikan ia berjalan dengan lancar serta menepati kualiti dan tarikh siap yang telah ditetapkan.

5_Tinjau perkembangan tapak projek-projek.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa sesi bergambar ramai.

Dalam usaha pihak Jabatan Kerja Raya meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, pihak Jabatan juga telah membuat beberapa projek masa hadapan dalam Rancangan Kemajuan Negara Ke-11. Projek-projek berkenaan pada masa ini dalam proses peringkat tawaran, antaranya adalah seperti berikut:

  1. Projek Jejambat di Persimpangan Lebuhraya Muara-Tutong dengan Jalan Utama Tanah Jambu
    • Objektif projek ini adalah untuk kemudahan dan keselamatan para pengguna jalan raya tanpa menggunakan pusingan-U berhampiran kawasan Lebuhraya Muara-Tutong.

       
  2. Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Bukit Barun Peringkat 8
    • Objektif projek ini adalah untuk meningkatkan pembekalan air bersih bagi penduduk Daerah Brunei Muara dan Tutong.

       
  3. Projek Pembaikan Saliran di Kawasan Jalan Jerudong Fasa 1
    • Objektif projek ini adalah untuk mengurangkan kejadian banjir dan meningkatkan kualiti hidup di kawasan tersebut.

Turut hadir semasa lawatan kerja ini ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Yang Mulia Awang Norazmi bin Othman, Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan kerajaan daripada Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.

Attachments