Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Penguatkuasaan Sebahagian Daripada Perintah (Pindaan) Kanun Tanah, 2016 Bagi Pelaksanaan Pendaftaran Kaveat

Panji-Panji.png

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

KENYATAAN MEDIA

 

PENGUATKUASAAN SEBAHAGIAN DARIPADA PERINTAH (PINDAAN) KANUN TANAH, 2016 BAGI PELAKSANAAN PENDAFTARAN KAVEAT

 

Kementerian Pembangunan dengan ini sukacita memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu`izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa`adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi pelaksanaan sebahagian daripada Perintah (Pindaan) Kanun Tanah, 2016 khususnya Seksyen 5 (dengan pengecualian), 6 dan 7 yang akan berkuatkuasa mulai 17 Jamadilawal 1442 bersamaan 01 Januari 2021.

Seksyen 5 dari Pindaan, antara lain, memperuntukkan mengenai dengan pelaksanaan kaveat. Peruntukan kaveat ini dihasratkan untuk melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu ke atas sebidang tanah dengan memasukkan atau mendaftarkan kepentingan itu ke Daftar Tanah. Kesan pendaftaran sesuatu kaveat ke atas sesuatu hakmilik tanah akan menghalang sebarang urusan daripada berlaku ke atas tanah tersebut. Dalam erti kata lain, Tuan Punya tanah tidak boleh memindah milik, menjual, menggadai atau memajak tanah tersebut atau apa juga urusan yang akan menjejaskan kepentingan pihak-pihak yang telah mendaftarkan kaveat berkenaan sehinggalah kaveat tersebut dikeluarkan atau telah tamat tempohnya.

Permohonan kaveat boleh dibuat kepada Pegawai Tanah di Pejabat Tanah Daerah (mengikut dimana letaknya tanah berkenaan) menggunakan borang-borang yang dinyatakan di bawah Seksyen 6 dan akan dikenakan Yuran Kaveat yang ditetapkan di bawah Seksyen 7 dalam Pindaan. Kaveat tersebut adalah sah untuk satu tempoh selama tiga (3) tahun melainkan jika ianya dikeluarkan lebih awal dari Daftar Tanah oleh Pegawai Tanah. Tempoh kaveat tersebut boleh diperbaharui bagi satu tempoh lanjutan tiga (3) tahun sahaja setelah membuat pembayaran yuran pembaharuan yang ditetapkan. Keterangan lanjut mengenai kaveat ini boleh didapati melalui laman sesawang www.land.gov.bn.

Selain daripada peruntukan kaveat, pelaksanaan peruntukan mengenai dengan pembelian atau memperolehi tanah oleh pihak Kerajaan negara asing bagi tujuan diplomatik, konsular atau tujuan rasmi Kerajaan itu atau untuk tujuan kediaman rasmi ejen Kerajaan itu akan juga dikuatkuasakan.

Dari segi penguatkuasaan pula,  pindaan ini memberi kuasa kepada Pegawai Tanah untuk memanggil orang bagi memberi keterangan atau mengemukakan sebarang dokumen atau barang dalam miliknya bagi tujuan pertanyaan atau siasatan. Kegagalan untuk mematuhi arahan Pegawai Tanah adalah menjadi kesalahan yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi $5,000.00, penjara  tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali.

Dengan berkuatkuasanya sebahagian daripada Perintah (Pindaan) Kanun Tanah 2016 ini, Kementerian Pembangunan yakin ianya akan dapat meningkatkan lagi sistem pentadbiran tanah dan pembangunan di Negara Brunei Darussalam. 

Bagi sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi Jabatan Tanah, Bahagian Pendaftaran di talian 2381181.

Tarikh: 16 Jamadilawal 1442 / 31 Disember 2020

Attachments