Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Mesyuarat Alam Sekitar ASEAN dan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_Mesyuarat Alam Sekitar ASEAN dan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.png

2_Mesyuarat Alam Sekitar ASEAN dan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.png

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar mengetuai delegasi dari Negara Brunei Darussalam.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Oktober. – Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN ke-16 mengenai Alam Sekitar (AMME 16) dan Persidangan ke-16 Ahli-Ahli Parti Kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (COP 16 AATHP) telah diadakan di Indonesia pada 21-22 Oktober 2021 secara maya dan dihadiri oleh Menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar, dari Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Setiausaha Agung ASEAN.

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Mesyuarat juga telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke Bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Norimtihan binti Haji Abd Razak, dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

Menteri-menteri mengambil maklum mengenai pencapaian dan kemajuan dari sudut perlindungan alam sekitar di peringkat serantau dan kerjasama terhadap beberapa isu alam sekitar, khususnya tindakan-tindakan dan inisiatif-inisiatif yang diambil ke atas kelestarian alam sekitar di rantau ini.

Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar (AMME) antara lain telah mengambil maklum mengenai pencapaian dan kemajuan usaha kerjasama serantau dalam menangani isu-isu alam sekitar termasuk penyediaan Kenyataan Bersama mengenai Perubahan Iklim ke Persidangan Rangkakerja Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP 26), Pelancaran Laporan Perubahan Iklim Negara-Negara ASEAN pada 7 Oktober 2021 yang telah diedarkan untuk menyumbang kepada pelaksanaan Perjanjian Paris, dan menilai kemajuan kolektif ke arah mencapai matlamat jangka panjang bagi perjanjian ini.

Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME) juga mengambil maklum mengenai COP UNFCCC 26 yang dijadualkan akan diadakan pada 31 Oktober – 12 November 2021 di Glasgow, United Kingdom.

Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar menyokong secara dasarnya inisiatif Pengerusi ASEAN 2021 iaitu Negara Brunei Darussalam, mengenai penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Negara Brunei Darussalam dan Tindakan Iklim Belia ASEAN (ASEANYouCAN).

Mesyuarat berharap adanya peningkatan penyelidikan, perkembangan, koordinasi dan kerjasama mengenai isu perubahan iklim di antara negara-negara ASEAN dan Rakan Dialog serta menerima baik pengiktirafan belia sebagai rakan penting dalam memerangi perubahan iklim dan menyambut baik deklarasi yang telah dipersetujui iaitu Bandar Seri Begawan Declaration on ASEAN Youth for Climate Action untuk tindakan serantau mengenai perubahan iklim yang lebih kukuh.

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai peningkatan tahap serpihan laut di perairan yang semakin meningkat, dan menegaskan perlunya setiap negara-negara ASEAN untuk lebih komited dalam melaksanakan ASEAN Framework of Action on Marine Debris dibawah payung Bangkok Declaration on Combating Marine Debris in ASEAN Region.

Mesyuarat juga mengambilmaklum mengenai pengesahan dan pelancaran The ASEAN Regional Action Plan on Combating Marine Debris in AMS pada 28 Mei 2021 dan kemajuan pelaksanaan projek dan inisiatif berkaitan dengan serpihan laut di perairan dan mengalu-alukan kerjasama yang lebih aktif dengan Rakan-Rakan Kerjasama.

Mesyuarat peringkat Menteri ini juga mengambil maklum pengesahan Kenyataan Bersama mengenai Kepelbagaian Biologi ke Persidangan Kepelbagaian Biologi Bangsa-Bangsa Bersatu kali ke-15 (CBD COP 15), yang telah disampaikan oleh Negara Brunei Darussalam sebagai Pengerusi ASEAN semasa Segmen Peringkat Tinggi CBD COP 15 di Kunming, China secara maya.

Mesyuarat juga menyambut baik akan pengesahan sasaran baru dibawah Rangkakerja Kepelbagaian Biologi Global Pasca 2020, dengan penekanan khusus kepada mempromosi penyelesaian berasaskan alam semula jadi sejajar dengan upaya pemulihan pasca-pandemik global dan serantau.

Mesyuarat juga menerima baik pengesahan Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Kimia dan Sisa Berbahaya kepada Mesyuarat 2021 Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm. Mesyuarat menegaskan perlunya komitmen ASEAN dalam mengurus secara efektif bahan-bahan kimia dan sisa berbahaya dan mengurangkan sisa berbahaya melalui kaedah 3R dan prinsip Ekonomi Pekeliling.

Mesyuarat seterusnya menyeru kerjasama rantau yang lebih erat untuk meningkatkan pembangunan keupayaan tempatan, menyokong penukaran teknologi, berkongsi maklumat dan amalan terbaik, dan meningkatkan kerjasama teknikal dalam pengurusan bahan kimia dan sisa berbahaya.

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai kemajuan pelaksanaan ASEAN-Mekong River Commission (MRC) Cooperation Framework yang digunapakai pada tahun 2018, dan mengambil maklum akan kejayaan pelaksanaan ASEAN-MRC Water Security Dialogue yang pertama pada 19-20 Ogos 2021 sebagai platform pertukaran teknikal antara negara-negara ASEAN mengenai penyelesaian inovatif dan amalan terbaik mengenai isu keselamatan utama mengenai isu air, termasuk akses air, sanitasi dan pencemaran, dan bencana yang berkaitan dengan air.

Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar juga telah menyaksikan penganugerahan 'The 5th ASEAN Environmentally Sustainable Cities (ESC) Awards and 4th ASEAN Certificates of Recognition for Clean Air, Clean Water, and Clean Land', kepada bandar-bandar terpilih di negara-negara ASEAN.

Mesyuarat juga menerima baik program dan inisiatif ini bagi mendorong bandar-bandar ASEAN lain untuk mempelajari amalan terbaik yang dilaksanakan dan menerapkan amalan persekitaran yang lebih lestari.

Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar juga mengakui bahawa tindakan bersama serantau masih diperlukan untuk mengatasi isu-isu alam sekitar yang cross-cutting umpamanya pencemaran serpihan laut, penggunaan dan pengeluaran yang mampan (SCP), dan circular economy.

Mesyuarat menerima baik Rangkakerja SCP ASEAN, yang menggariskan keutamaan-keutamaan untuk menggunapakai langkah-langkah dan menyokong kemajuan dalam SDG 12, mempromosikan sistem makanan lestari, mempromosikan gaya hidup lestari di kawasan bandar dan luar bandar.

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai kemajuan pelaksanaan aktiviti-aktiviti bersama antara ASEAN dan Republik Rakyat China semasa ASEAN-CHINA Year of Sustainable Development Cooperation. Mesyuarat juga mengesahkan ASEAN-China Joint Statement on Enhancing Green and Sustainable Development Cooperation untuk pertimbangan semasa Sidang Kemuncak ASEAN-China dan mengambil maklum mengenai Forum Peringkat Tinggi ASEAN mengenai Pengembangan Hijau dan Lestari dan Forum ASEAN-China Mengenai Kerjasama Alam Sekitar yang akan diadakan pada 24-26 Oktober 2021.

Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN juga mengambil maklum dialog yang berterusan diantara ASEAN dan Rakan Kerjasama mengenai isu-isu alam sekitar yang cross-cutting, umpamanya perubahan iklim, environmentally sustainable cities, dan circular economy semasa Dialog ASEAN-Jepun mengenai Kerjasama Alam Sekitar, Dialog ASEAN-Republik Korea mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dialog Peringkat Tinggi ASEAN-EU mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dialog Persediaan bagi ASEAN-Amerika Syarikat mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN+3 mengenai Alam Sekitar, yang telah diadakan pada 16-17 September 2021 di Negara Brunei Darussalam secara maya.

Pada Persidangan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi Perjanjian ASEAN (COP-16 AATHP), mesyuarat telah menyuarakan kebimbangan mengenai kejadian jerebu yang telah melanda beberapa negara-negara ASEAN sejak dua tahun kebelakangan.

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai meningkatnya tahap ancaman kepada alam sekitar yang disebabkan oleh perubahan iklim dan pencemaran sewaktu pandemik Covid-19 ini. Mesyuarat bersetuju untuk memperkuatkan lagi kewaspadaan dan mengambil tindakan pencegahan dan segera untuk mencegah kebakaran bagi mengurangi kebakaran tanah dan hutan dan mengurangkan terjadinya jerebu rentas sempadan semasa musim cuaca kering, diwaktu pandemik ini.

Mesyuarat COP-16 AATHP mengambil maklum mengenai maklumat ramalan cuaca yang dilaporkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), dimana fasa negatif yang berlaku di Indian Ocean Dipole (IOD) adalah faktor penyumbang kepada keadaan wetter-than-normal semasa musim kering tradisional 2021 di rantau ASEAN Selatan.

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai peningkatan titikpanas di sub-rantau Mekong bermulanya musim kemarau pada Disember 2021/awal Januari 2022.

ASMC memaklumkan bahawa kemungkinan keadaan La Niña akan meningkat dan meramalkan keadaan wetter-than-normal dan warmer-than-normal dijangka di kebanyakan rantau ASEAN sehingga hujung tahun ini.

Mesyuarat COP-16 juga mengambil maklum usaha ASMC untuk meningkatkan keupayaan teknikalnya dalam pemantauan dan penilaian cuaca dan jerebu di rantau ASEAN, termasuk pemodelan ramalan cuaca dan iklim. Mesyuarat dikemas kini akan peningkatan ASMC dalam penyampaian perkhidmatan dan jangkauan. Mesyuarat ini menerima baik kursus latihan dan forum teknikal yang diadakan secara berkala oleh ASMC sebagai sebahagian daripada Regional Capability Building Programme yang berlangsung selama lima tahun, yang telah dihadiri oleh rakan-rakan ASEAN.

Mesyuarat Persidangan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi Perjanjian ASEAN (COP-16 AATHP) juga mengambil maklum Laporan Kemajuan Final Review of the Roadmap on ASEAN Cooperation towards Transboundary Haze Pollution Control with Means of Implementation yang membolehkan negara-negara ASEAN untuk melihat kemajuan dan mengekalkan momentum dalam memastikan peningkatan bagi mencapai visi ASEAN bebas jerebu melalui Roadmap yang diperbaharui. Mesyuarat juga menantikan perkembangan kajian semula dan Roadmap seterusnya.

Mesyuarat Persidangan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi Perjanjian ASEAN (COP-16 AATHP) menerima baik ASEAN Task Force on Peatlands (ATFP)  dan Committee under the Conference of Parties to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (COM) di atas rebiu terakhir mengenai ASEAN Peatland Management Strategy (APMS 2006-2020) dan Final Report of the Final Review of APMS  dan menegaskan nilai-nilai pengurusan tanah gambut secara lestari di rantau ini melalui tindakan dan peningkatan bersama.

Mesyuarat seterusnya menugaskan ATFP untuk merumuskan APMS seterusnya yang akan menjadi landasan untuk fasa kerja ASEAN seterusnya dalam menangani salah satu punca pencemaran jerebu rentas sempadan.

Mesyuarat Persidangan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi Perjanjian ASEAN (COP-16 AATHP) mengambil maklum perkembangan terkini terhadap The Establishment Agreement and Host Country Agreement of the ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC) di Indonesia dan desakan untuk meningkatkan usaha bagi mencapai matlamat. Menteri-menteri menantikan pelaksanaan semua aspek AATHP dengan efektif dan berkesan setelah ACC THPC mula beroperasi.

Mesyuarat Persidangan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi Perjanjian ASEAN (COP-16 AATHP) menerima baik Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (MSC) dan The Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution in the Mekong Sub-Region (MSC Mekong) dalam menegaskan kembali komitmen mereka untuk menangani permasalahan berkaitan dengan jerebu yang berlaku di wilayah masing-masing dan menantikan persidangan MSC ke-22 dan MSC Mekong ke-10 yang pertama di Indonesia dan Myanmar, sebagai persiapan bagi musim kemarau yang akan datang di sub-daerah masing-masing.

Mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan joint indicators bagi mengurangkan sebanyak 20% titik panas di rantau ASEAN mulai tahun depan, dan haze-free roadmap yang baru.

Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN juga telah bersidang bersama negara-negara Plus Three (Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea) di Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN+3, dimana mesyuarat telah merebiu aktiviti dan program yang sedang dilaksanakan dan seterusnya membincangkan kerjasama strategik dalam bidang kepelbagaian biologi, perubahan iklim, pendidikan alam sekitar, sains dan teknologi alam sekitar, bandar-bandar yang lestari, dan serpihan plastik laut, antara lainnya.

Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN telah bersetuju untuk bersidang lagi di Singapura pada tahun 2022 untuk Mesyuarat Ke-17 Persidangan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi Perjanjian ASEAN (COP-17 AATHP), dan di PDR Lao pada tahun 2023 untuk Mesyuarat Ke-17 Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN, dan Mesyuarat Ke-18 Persidangan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi Perjanjian ASEAN (COP-18 AATHP).

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments