Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

593 penerima dianugerahkan rumah RPN Bukit Beruang

Oleh: Nooratini Haji Abas | Foto: Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor, Hamzah Mohidin, Hernie Suliana Haji Othman, Azmah Haji Ahad, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman | Ahad, 15 Mei 2016

fe8189c76e2d97d6ceca3983b62a08d5_XL.jpg 

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan penyerahan anak kunci rumah kepada penerima.

TUTONG, Sabtu, 14 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah Kembar dan Rumah Teres kepada 593 orang penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang bagi Daerah Tutong pada majis yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Tanjong Maya, Mukim Tanjong Maya, Tutong, di sini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 160 penerima menerima rumah kembar, manakala 433 pula menerima rumah teres.

Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di sini telah dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah; Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Adnan bin Haji Adam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Tutong, Pengiran Haji Shahril Azman bin Pengiran Haji Metussin.

140516_ARIF1_KUNCI.jpg 

KEBERANGKATAN tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah; Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Adnan bin Haji Adam.

Dalam sembah alu-aluan Pemangku Pegawai Daerah Tutong antara lain menjelaskan, keberangkatan Kebawah DYMM bagi menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci itu merupakan satu anugerah yang tiada terbanding nilainya dan memberi makna yang amat mendalam kepada para penerima.

Katanya, penganugerahan itu jelas menggambarkan sikap pemedulian dan keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan rakyat serta dapat memupuk lagi perpaduan masyarakat di daerah tersebut.

Melalui kebijaksanaan Kebawah DYMM, Daerah Tutong tambahnya, turut sama menikmati pembangunan berterusan melalui peningkatan prasarana awam di peringkat mukim dan kampung termasuk penyediaan rumah-rumah di bawah Skim RPN yang mempunyai reka bentuk yang kondusif, terkini dan selamat dengan penyediaan kemudahan-kemudahan yang bersesuaian seperti dewan kemasyarakatan, tempat riadah, permainan kanak-kanak dan lainnya.

Oleh itu, beliau dalam sembahnya, menyeru kepada rakyat dan penduduk di Daerah Tutong secara amnya dan para penerima kunci rumah akan sentiasa memelihara dan menjaga alam sekitar serta kebersihan supaya negara ini akan sentiasa dalam keadaan yang bersih, indah dan cantik.

140516_AZMI4_KUNCI.jpg 

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan berangkat ke Majlis Penyempurnaan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah Kembar dan Rumah Teres di Bawah Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang Daerah Tutong.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Tutong.

Penganugerahan rumah-rumah itu jelas mencerminkan keprihatinan dan pemedulian baginda kepada rakyat dan penduduk negara ini dan secara langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita baginda khususnya dalam menyediakan perumahan yang berkonsep berdaya tahan dan mapan dimiliki selaras dengan salah satu objektif Rancangan Kemajuan Negara (RKN) untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan berkenaan, Kebawah DYMM juga berkenan singgah melawat ke Sekolah Menengah Tanjong Maya, Mukim Tanjong Maya, Tutong; Sekolah Rendah Abdul Rashid Tanjong Maya, Tutong II; Syarikat Wira Bina; Produk Majlis Perundingan Mukim Tanjong Maya; Rumah Ketua Kampung Lubok Pulau; Balai Bomba Bukit Beruang, Jalan Bukit Beruang, Mukim Tanjong Maya, Tutong.

140516_AZMI7_KUNCI.jpg 

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan penyerahan anak kunci rumah kepada penerima (atas dan bawah).

140516_AZMI9_KUNCI.jpg 

Kemudian, baginda juga berkenan singgah ke rumah para penerima anak-anak kunci rumah kembar dan rumah teres di bawah RPN Bukit Beruang, Mukim Telisai Tutong iaitu di rumah Dayang Rabiatul Moneerah binti Mansor, Dayangku Shahidah binti Pengiran Kahar, Awang Muhammad Fadhlie bin Abdullah, Awang Haji Andy Faizal bin Haji Junit, Awang Amiezul bin Mohammad Zulazri dan Awang Shahrul Nizam bin Sawal.

Sebanyak 1,500 unit rumah telah dibina dalam projek perumahan di kawasan RPN Bukit Beruang yang mempunyai keluasan 127 hektar dengan anggaran perbelanjaan melebihi BND140 juta. Daripada jumah tersebut, 1,000 buah adalah rumah jenis teres dan selebihnya adalah rumah jenis kembar.

Projek perumahan ini dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan diserahkan ke Kementerian Pembangunan pada Mei 2014 lalu setelah ia siap dibina pada Mac 2014.

140516_ARIF5_KUNCI.jpg 

SEMBAH alu-aluan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Adnan bin Haji Adam.

140516_ARIF4_KUNCI.jpg 

HAKIM Mahkamah Rendah Syariah Tutong, Pengiran Haji Shahril Azman bin Pengiran Haji Metussin semasa membaca Doa Selamat.

Kawasan lantai setiap unit teres ialah 85.9 meter persegi, manakala saiz plot unit sudut adalah 360m persegi dan unit pertengahan pula ialah 250m persegi. Setiap unit mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan dua bilik mandi.

Sementara itu, kawasan lantai setiap unit berkembar adalah 130m persegi dengan saiz plot seluas 400m persegi dan setiap unit berkembar pula mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan tiga bilik mandi.

Kawasan perumahan ini merupakan satu konsep pembangunan perumahan komprehensif lengkap dengan ruang tanah untuk kemudahan awam pada masa hadapan seperti sekolah, masjid, kemudahan komersial, pusat komuniti, taman dan kawasan rekreasi serta taman permainan.

140516_AZMAH04_KUNCI.jpg 

SEBAHAGIAN daripada peserta yang menerima anak-anak kunci rumah kembar dan rumah teres di bawah Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang, Mukim Telisai, Tutong (atas dan bawah).

140516_ARIF8_KUNCI.jpg 

Sejak wujudnya RPN itu, ia berkembang dan dinikmati oleh seluruh rakyat di negara ini, hingga hari ini 27 ribu buah rumah di bawah RPN dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) telah dibina di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 25,647 buah rumah telah dianugerahkan kepada para penerima yang berkelayakan dan daripada jumlah tersebut, 1,304 juga adalah pemohon yang berjaya mengikuti RPN bagi Daerah Tutong.

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan ketika ini sedang menjalankan penilaian 'review' secara menyeluruh mengenai Skim Perumahan Negara bagi memastikan ia dapat berdaya tahan dalam memenuhi permohonan yang semakin meningkat.

Antara strategi jangka panjang juga termasuk penggunaan secara optima bagi meningkatkan bilangan penghasilan rumah, kini dapat dilihat pelbagai perubahan dari segi penyediaan bentuk perumahan umpamanya pembinaan rumah jenis 'cluster housing' dan 'vertical housing'.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments