Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik, Kempen Eco Ramadhan dilaratkan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

2_Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik, Kempen Eco Ramadhan dilaratkan.JPG

PENGARAH Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Martinah binti Haji Tamit semasa mengagihkan beg guna semula kepada pengunjung di Gerai Ramadan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 April. – Sebagai kesinambungan kepada Kempen Melaratkan Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik dan Kempen Eco Ramadhan Bersama JASTRe yang dilaksanakan bermula pada bulan Ramadhan tahun ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dengan kerjasama Zero Waste Brunei sekali lagi mengadakan kempen yang turut disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Takaful Brunei Darussalam, Baiduri Bank, Unified National Network (UNN), Progresif Sdn. Bhd. dan Butra HeidelbergCement Sdn. Bhd. di Gerai Ramadhan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Hadir melancarkan kempen ini ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Martinah binti Haji Tamit.

Kempen tersebut dimulakan dengan penyerahan poster Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik kepada Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd Rosfazilah bin Haji Yusly, dan Pengarah Pengurusan Riza Fudhlana Management Service, Pengiran Haji Haris Pengiran Haji Duraman, selaku penganjur Gerai Ramadhan.

1_Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik, Kempen Eco Ramadhan dilaratkan.JPG

PENGARAH Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Martinah binti Haji Tamit menyerahkan poster Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik kepada Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd Rosfazilah bin Haji Yusly.

Kempen diteruskan dengan pengagihan beg-beg guna semula kepada pelanggan dan pengunjung Gerai Ramadhan Stadium Negara Hassanal Bolkiah dimana sebanyak 1,200 beg guna semula telah diagihkan.

Inisiatif melaratkan Setiap Hari Tanpa Beg Plastik ke Kedai Runcit, Restoran dan Gerai-Gerai oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi telah diumumkan semasa sambutan Hari Bumi pada hari Khamis, 22 April 2021, yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Kempen Eco Ramadhan Bersama JASTRe merupakan satu kempen media sosial anjuran Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi yang mula diperkenalkan pada tahun 2021 dan diadakan sepanjang bulan Ramadhan. Kempen tersebut bertujuan untuk melibatkan orang ramai untuk ikut serta dalam meningkatkan kesedaran bahawa ada alternatif kepada penggunaan plastik sekali guna dan dalam masa yang sama mendorong penggunaan barang yang boleh diguna semula seperti beg guna semula, botol guna semula, bekas makanan guna semula dan sebagainya terutama apabila membeli makanan tapau. Ia juga menggalakkan setiap organisasi dan individu untuk memulakan atau membuat perubahan kecil yang akan menghasilkan impak yang besar kepada masyarakat dan alam sekitar.

3_Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik, Kempen Eco Ramadhan dilaratkan.JPG

SESI bergambar ramai bersama agensi-agensi yang terlibat.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk ikut serta dalam kempen ini dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dengan kerjasama Zero Waste Brunei yang akan dimuat naik di media sosial Instagram rasmi mereka, @jastre.bn dan @zerowastebrunei di sepanjang bulan Ramadhan ini. Kempen ini juga diadakan bersempena dengan Hari Bumi yang bertemakan 'Invest In Our Planet' (Melabur dalam Bumi Kita).

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments