Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Jejambat persimpangan Jalan Pengiran Babu Raja mula digunakan

Oleh: Haniza Abdul Latif | Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas | Jumaat, 3 Jun 2016

6c6e0efdc148c2034f6432423d10bb74_XL.jpg

TETAMU kehormat merasmikan Jejambat Baru Jalan Babu Raja.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 2 Jun. - Jejambat di persimpangan Jalan Pengiran Babu Raja dan Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang kini telah mula digunakan kepada lalu lintas bagi melicinkan perjalanan lalu lintas kerana didapati kawasan tersebut merupakan salah satu kawasan yang kritikal.

Pemangku Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menjelaskan perkara tersebut dalam temu bual bersama para media pada Majlis Pembukaan Rasmi Projek pembinaan jejambat di persimpangan Jalan Pengiran Babu Raja dan Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, di sini.

Tambahnya, jejambat itu akan memudahkan pengguna jalan raya yang melalui Jalan Pengiran Babu Raja ke Jalan Tutong dan Jalan Tutong balik ke Jalan Babu Raja.

Menyentuh mengenai dengan projek-projek lain yang giat dilaksanakan, Pemangku Menteri Pembangunan berkata, antara projek tersebut ialah jalan utama di kawasan Jalan Telanai / Gadong dan jalan penghubung dari Jalan Tungku ke Jerudong yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

020616_ASRI-9_JAMBATAN.jpg

PEMANGKU Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar ketika ditemu bual Pelita Brunei.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan penerangan ringkas mengenai projek pembinaan jejambat tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Jalan Raya, Awang Yee Kok On.

Majlis disusuli dengan Pembukaan Rasmi Jejambat di Persimpangan Jalan Pengiran Babu Raja dan Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha oleh Pemangku Menteri Pembangunan dan diakhiri dengan bacaan doa selamat.

Projek pembinaan jejambat tersebut merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-10 yang mula dibina pada pertengahan tahun 2012 melalui penglibatan pemborong tempatan, iaitu Tobishima (B) Sendirian Berhad dengan menelan belanja kira-kira BND20 juta.

020616_ASRI-2_JAMBATAN.jpg

TETAMU kehormat diberi penerangan ringkas mengenai projek.

Projek pembinaan jejambat itu dilaksanakan bertujuan untuk menampung pertumbuhan jumlah lalu lintas, di samping meningkatkan tahap keselamatan para pengguna jalan raya serta memperkemaskan lagi sistem rangkaian jalan raya dengan lebih teratur.

Projek tersebut menyediakan laluan keluar / masuk yang lebih selesa dan selamat menuju ke kawasan Jalan Pengiran Babu Raja terutama sekali bagi lalu lintas yang datang dari pusat Bandar.

Selain itu, ia juga menyediakan laluan untuk berpatah balik menuju ke pusat Bandar dan lampu isyarat lalu lintas serta papan tanda juga dipasang bagi memudahkan perjalanan dan pelancaran lalu lintas bagi pengguna jejambat ini.

Dengan terbinanya jejambat di persimpangan itu, sedikit sebanyak akan mengurangkan masalah kesesakan di sebahagian kawasan di jalan utama Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di mana sebahagian jumlah lalu lintas yang datangnya dari arah Beribi akan menggunakan Jalan Pengiran Babu Raja untuk menuju ke Telanai dan sekitarnya.

020616_ASRI-7_JAMBATAN.jpg

PANDANGAN dari atas jejambat yang mula digunakan.

020616_ASRI-13_JAMBATAN.jpg

JEJAMBAT baru yang mula digunakan.

Projek-projek yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan khususnya Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), adalah sebagai kesinambungan usaha kementerian berkenaan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan para pengguna jalan raya terutama yang sering menggunakan jalan berkenaan.

Di samping itu, ia juga dihasrat untuk membuka peluang perkembangan aktiviti sosio-ekonomi di sepanjang kawasan Jalan Pengiran Babu Raja.

Dengan pembukaan jejambat ini maka JKR sukacita mengingatkan kepada orang ramai terutama para pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati-hati serta mengikut papan tanda yang telah disediakan demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya yang lain.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah; Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di kementerian berkenaan.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments