Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pertukaran lawatan tahunan Brunei-Singapura ke-15

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Pertukaran lawatan tahunan Brunei-Singapura ke-15.jpeg

MESYUARAT Ke-15 Kerjasama Brunei-Singapura di bawah Pertukaran Lawatan Tahunan yang telah diadakan di Republik Singapura.

REPUBLIK SINGAPURA, Khamis, 4 Ogos. – Mesyuarat Ke-15 Kerjasama Brunei-Singapura mengenai alam sekitar di bawah Pertukaran Lawatan Tahunan, merupakan aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman Dua Hala Mengenai Hal Ehwal Alam Sekitar tahun 2015, telah diadakan di Republik Singapura, hari ini.

Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Puan Yang Terutama Ms. Grace Fu, mengetuai delegasi Republik Singapura yang terdiri daripada Setiausaha Tetap, Mr. Stanley Loh, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) dan Agensi Air Kebangsaan Singapura (PUB).

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, dan terdiri daripada Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi serta Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam.

2_Pertukaran lawatan tahunan Brunei-Singapura ke-15.jpeg

DELEGASI Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Para Menteri mengambilmaklum perkembangan projek dan program-program yang telah dilaksanakan oleh kedua buah negara dalam bidang pengurusan sisa pepejal, pengurusan kualiti udara, pengurusan sumber air, program belia alam sekitar dan perubahan iklim. Dalam hal ini, para Menteri telah menyokong usaha yang berterusan dalam pengurusan sisa pepejal di kedua-dua negara, terutamanya: inisiatif Negara Brunei Darussalam mengenai pemasangan sistem kamera pengawasan (CCTV) untuk memantau aktiviti pembuangan sampah di kawasan-kawasan tertentu, penambahbaikan kepada inisiatif pembersihan Sungai Brunei dan pembersihan pantai di seluruh negara yang bertujuan untuk mewujudkan data asas (baseline data) mengenai serpihan marin yang terdapat di kawasan pantai; serta Pelan Hijau Singapura 2030, Loji Sisa proses Tenaga (Waste to Energy) Tuas One dan Kemudahan Pengurusan Sisa Bersepadu Singapura. Dalam aspek pengurusan kualiti udara, Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura menyambut baik pertukaran maklumat mengenai pemantauan dan langkah pengurusan kualiti udara termasuk projek perintis Kenderaan Elektrik Brunei Darussalam yang dilancarkan pada tahun 2021.

Para Menteri mengambil perhatian mengenai usaha dalam program dan aktiviti belia alam sekitar seperti kempen 'Hari Alam Sekitar Sedunia' Brunei Darussalam dan program Belia untuk Kelestarian Alam Sekitar (YES) Singapura. Mengenai pengurusan sumber air, kedua-dua pihak telah bertukar-tukar maklumat mengenai langkah-langkah baharu seperti pelaksanaan projek SMART Brunei untuk pengurusan banjir dan sistem suria photovoltaic terapung (PV), di mana antara yang terbesar di dunia dan di tempatkan di Takungan Tengeh, Republik Singapura.

Mengenai perubahan iklim, Singapura telah mengesahkan sokongan terhadap inisiatif ASEAN Brunei Darussalam, khususnya Pusat Perubahan Iklim ASEAN dan Belia ASEAN mengenai Tindakan Iklim (ASEANyouCAN). Dialog ASEANyouCAN telah diadakan pada Oktober 2021 bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar melibatkan semua negara anggota ASEAN, yang mana perwakilan belia ASEANyouCAN telah mengeluarkan Deklarasi Bandar Seri Begawan mengenai Tindakan Iklim untuk Belia. Deklarasi tersebut mengetengahkan kebimbangan dan cadangan para belia ASEAN untuk mengukuhkan tindakan iklim serantau. Kedua-dua Menteri menyatakan kepentingan memerangi perubahan iklim, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama melalui pertukaran teknikal mengenai bidang berkaitan perubahan iklim seperti sains iklim, adaptasi iklim dan perlindungan persisiran pantai.

Kedua-dua Menteri bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam pengurusan sumber air seperti pengurusan kualiti air bersepadu dan sistem amaran. Perkara ini akan melibatkan rangka kerja dasar kualiti air serta pengurusan kawalan banjir, termasuk dasar saliran dan strategi penguatkuasaan dalam adaptasi perubahan iklim.

Kedua-dua negara menyatakan untuk bekerjasama dengan negara anggota ASEAN yang lain untuk memajukan kepentingan alam sekitar serantau untuk mencapai pembangunan mampan dan menyediakan persekitaran hidup yang sihat dan bersih untuk rakyat walaupun dalam keadaan situasi COVID-19 yang berlaku pada masa ini.

Dengan hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, dan kerjasama dua hala yang kukuh antara Kementerian Pembangunan dan Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar, para Menteri telah mengesahkan Memorandum Persefahaman mengenai Perkongsian Dua Hala dalam Hal Ehwal Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang telah diperbaharui. Memorandum Persefahaman tersebut menggariskan komitmen Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura untuk mengembangkan kerjasama dengan memasukkan bidang perubahan iklim sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus maju dan memperdalam kerjasama mengenai kelestarian dan perlindungan alam sekitar di kedua buah negara.

Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah BSAEV ke-16 pada tahun 2023.

Sumber: Siaran Akhbar Bersama Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar, Republik Singapura dan Kementerian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam.

Attachments