Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Keberkesanan sistem pengurusan inventori gas rumah hijau dikaji
Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam

1_Keberkesanan sistem pengurusan inventori gas rumah hijau dikaji.jpg

SESI bergambar ramai.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 25 Ogos. – Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BCCS) mengadakan Bengkel 'Quality Assurance (QA) of the National Greenhouse Gas (GHG) Inventory Management System and National GHG Inventories of Brunei Darussalam', anjuran Sekretariat Rangka Kerja Konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), yang berlangsung dari 20 dan 22 hingga 25 Ogos 2022, di Hotel Radisson.

Bengkel ini dimudah cara bersama oleh pakar dan perunding Sekretariat UNFCCC, Dominique Revet, Ketua Pasukan Unit Sokongan GHG dari Sekretariat UNFCCC, Ana Pejovic, Sergey Shmarin dan Iordarnis Tzamtzis, yang menyampaikan penerangan berguna dalam bengkel tersebut.

Objektif bengkel tersebut adalah untuk mengkaji keberkesanan Sistem Pengurusan Inventori GHG semasa di Negara Brunei Darussalam apabila menggunakan '2006 Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) Guidelines for national GHG inventories', yang akan menjadi asas untuk pelaksanaan berkesan Enhanced Transparency Framework (ETF), di bawah Perjanjian Paris.

Di samping itu, bengkel juga dihasrat untuk mengukuhkan keupayaan Pasukan Inventori GHG negara dan meletakkan asas bagi penambahbaikan Inventori GHG masa hadapan, terutamanya menjelang penyerahan mandatori kebangsaan kepada UNFCCC menjelang 2024, iaitu Laporan Ketelusan Dwitahunan (BTR) Negara Brunei Darussalam yang pertama.

Bengkel menghimpunkan sejumlah 50 pihak berkepentingan, yang terdiri daripada 'decision-makers', dan pakar, dari kerajaan, sektor bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi, termasuk pegawai-pegawai dari BCCS; Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri; Pihak Berkuasa Petroleum (PA); Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRE); Jabatan Perhutanan, dan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dari Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Jabatan Perkhidmatan Elektrik (DES); Berakas Power Company (BPC); Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Brunei Shell Petroleum (BSP); Brunei LNG (BLNG); Brunei Shell Marketing (BSM); Syarikat Brunei Methanol (BMC); HENGYI Industries Bn; Brunei Gas Carriers (BGC); Brunei Fertilizer Industries (BFI); Royal Brunei (RBA); dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

2_Keberkesanan sistem pengurusan inventori gas rumah hijau dikaji.jfif 3_Keberkesanan sistem pengurusan inventori gas rumah hijau dikaji.jfif

ANTARA yang hadir semasa bengkel tersebut.

Bengkel dimulakan dengan ucapan perasmian, disampaikan oleh Dominique Revet dari Sekretariat UNFCCC, di mana beliau menekankan, bahawa Bengkel QA akan menyediakan peluang unik untuk terus membina dan memperhalusi Sistem Inventori GHG negara yang berfungsi, dan merupakan satu-satunya cara negara akan dapat mengambil pemilikan proses tersebut serta berperanan untuk menyampaikan jumlah data kualiti yang meningkat dengan ketara, yang akan berfungsi sebagai asas untuk ETF, di bawah Perjanjian Paris.

Sekretariat UNFCCC juga bersedia untuk membantu Negara Brunei Darussalam dalam penyediaan BTR pertamanya.

Hadir pada sesi tersebut, Ketua Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Ir. Ahmad Zaiemaddien bin Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, yang mengingatkan mengenai kesan dan ancaman perubahan iklim dalam kehidupan seharian kita.

Beliau menekankan, bahawa ketiadaan Sistem Pengurusan Inventori GHG Berpusat, mengakibatkan kehilangan atau ketidaktepatan data mengenai pelepasan GHG yang lalu.

Justeru, terdapat peluang untuk meningkatkan kerjasama dan sinergi dalam ekosistem, terutamanya melalui bengkel ini.

Bengkel QA selama lima hari ini berakhir dengan perbincangan bermanfaat di antara pihak berkepentingan dan UNFCCC, di mana mereka bertukar-tukar dialog mengenai Garis Panduan IPCC 2006.

Sesi tersebut meringkaskan templat Jaminan Kualiti yang disediakan oleh UNFCCC dan mengetengahkan cadangan kritikal mengenai bidang yang boleh dipertingkatkan, di peringkat nasional.

Templat tersebut akan menjadi asas bagi 'National Inventory Improvement Plan (NIIP)' untuk Inventori GHG berikut.

Templat itu juga dijangka membawa hasil positif pada pengenalan yang dirancang bagi Arahan Pelaporan GHG mandatori dan Garis Panduan Pelaporan GHG, selaras dengan Strategi 9: Inventori Karbon, yang digariskan dalam BNCCP, berhasrat untuk memajukan haluan untuk semua kemudahan dan ejen yang mengeluarkan serta menyerap GHG untuk melaporkan data GHG mereka.

Ini bagi memastikan akauntabiliti dan tanggungjawab negara untuk menyediakan ketelusan melalui pemantauan serta menjaga wawasan negara berdaya tahan iklim.

Sumber: Siaran Akhbar Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Attachments