Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kementerian Pembangunan imarahkan masjid dengan Majlis Berdikir

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan / Jabatan Tanah

1_Kementerian Pembangunan imarahkan masjid dengan Majlis Berdikir.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid hadir selaku tetamu kehormat majlis dan mengetuai rombongan dari Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Oktober. – Majlis Dikir Syarafil Anam 12 Malam Berturut-Turut sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam bersama Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya telah diadakan pada 9 Rabiulawal 1444 Hijrah bersamaan 5 Oktober 2022 Masihi di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam.

Majlis kelolaan bersama Kementerian Pembangunan dengan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam ini adalah bertujuan untuk memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam serta mengimarahkan masjid dan menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam.

Majlis dihadiri oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku tetamu kehormat majlis dan ketua rombongan Kementerian Pembangunan.

Majlis dimulakan selepas Solat Fardhu Maghrib Berjemaah dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan diikuti dengan Dikir Maulud beramai-ramai.

Dikir Maulud diteruskan lagi selepas Solat Fardhu Isyak Berjemaah. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

2_Kementerian Pembangunan imarahkan masjid dengan Majlis Berdikir.JPG 3_Kementerian Pembangunan imarahkan masjid dengan Majlis Berdikir.JPG

ANTARA pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang hadir.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Professional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, Ketua-Ketua Jabatan dan Divisyen, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

4_Kementerian Pembangunan imarahkan masjid dengan Majlis Berdikir.jpg

SESI bergambar ramai.

Rombongan Kementerian Pembangunan seterusnya akan mengadakan Majlis Dikir di Masjid Kampong Kilanas, pada hari Isnin, 10 Oktober 2022 yang diselajurkan dengan Majlis Penutup Dikir 12 Malam Berturut-Turut sempena Sambutan Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1444 Hijrah / 2022 Masihi.

Attachments