Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Mewujudkan persekitaran kemajuan mapan, berdaya tahan
Berita: Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 November. – Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) selaku agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memenuhi permintaan tanah daripada pelbagai sektor bagi menjana pertumbuhan negara, perlu menitikberatkan kepentingan dasar perancangan guna tanah yang optima untuk membuahkan hasil positif.

Ini termasuk mekanisma pengagihan tanah yang lebih efektif dan strategik bagi memastikan bekalan tanah yang diperuntukkan bagi pelbagai rancangan kemajuan dapat dilaksanakan bagi mendokong matlamat strategik Wawasan Brunei 2035.

Perkara berkenaan antara yang dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa menyampaikan mukadimah selaku tetamu kehormat majlis pada Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan JPBD.

Majlis yang diselajurkan dengan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2022 berkenaan telah berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Dalam masa yang sama kata Yang Berhormat, negara juga perlu menangani fenomena global perubahan iklim, yang kesannya dapat dirasai pada masa ini.

Penglibatan daripada pelbagai sektor kerajaan yang berkepentingan, sektor swasta dan pihak awam tambah Yang Berhormat, juga adalah perlu dengan menekankan pendekatan yang lebih kreatif dan menyeluruh dalam mengenal pasti dasar perancangan guna tanah dan kawalan kemajuan yang 'people-centric dan inclusive' bagi mewujudkan satu persekitaran kemajuan yang mapan dan berdaya tahan buat generasi masa kini dan masa hadapan.

“Justeru itu, keutamaan untuk memastikan persekitaran yang berkualiti, berdaya tahan serta selamat melalui kemajuan yang berperancangan dan sepadu adalah sangat dititikberatkan," ujar Yang Berhormat.

Aturcara terlebih dahulu dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa, Dayang Dr. Marsita binti Omar selaku Pengerusi Sambutan Majlis Jubli Emas JPBD.

Menurutnya, banyak lipatan sejarah pembangunan Negara Brunei Darussalam dalam menerajui perancangan guna tanah dan kawalan kemajuan fizikal, dengan pencapaian serta cabaran kemajuan dapat diimbas kembali di sepanjang 50 tahun penubuhannya, iaitu sejak 1 Januari 1972.

“Walaupun cabaran kemajuan pada masa ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan 50 tahun lalu, namun tujuan dan nilai murni perancangan guna tanah dan kawalan kemajuan masih dapat diteruskan khusus dalam mewujudkan satu persekitaran kemajuan yang teratur dan selamat, yang dapat memberi manfaat kepada kehidupan manusia yang progresif secara menyeluruh," jelasnya.

Majlis diteruskan lagi dengan tayangan video Sambutan Jubli Emas JPBD, diikuti penyampaian hadiah oleh tetamu kehormat majlis kepada pemenang Pertandingan Mencipta Logo Sambutan Jubli Emas, dan para pemenang Pertandingan Lukisan 'My Ideal City'.

Majlis diserikan dengan pameran 'Menyelusuri 50 tahun Perancang Bandar dan Desa di Negara Brunei Darussalam: Pencapaian, Cabaran dan Masa Depan' yang mengetengahkan antara pencapaian, cabaran dan perancangan jabatan berkenaan dalam membangun bandar dan desa sejak tahun 1972.

Selain itu, beberapa aktiviti sambutan juga telah diaturkan bertujuan untuk mengongsikan kepada orang ramai melalui aktiviti pameran, seminar, dan penerbitan sebuah buku 'Menyelusuri 50 Tahun Perancangan Bandar dan Desa di Negara Brunei Darussalam' yang dijadualkan pada Februari tahun hadapan.

Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap selaku ahli Majlis Perancangan Guna Tanah Kebangsaan dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) selaku Autoriti Perancang, serta ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Pembangunan.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments