Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Masjid baharu RPN Lumut akan dibina

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Ehsan Kementerian Hal Ehwal Ugama

1_Masjid baharu RPN Lumut akan dibina.JPG

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan hadir selaku tetamu kehormat bersama di Majlis Mendirikan Tiang Masjid Baharu Rancangan Perumahan Negara Kampong Lumut, Daerah Belait.

BELAIT, Rabu, 22 Mac. – Penduduk Rancangan Perumahan Negara Kampong Lumut, Daerah Belait dan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang dibina di atas sebidang tanah yang berkeluasan 5.3 ekar.

Majlis Mendirikan Tiang Masjid Baharu berkenaan telah diadakan pada pagi ini yang dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku tetamu kehormat bersama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan laungan azan dan bacaan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Abdul Qayyum bin Haji Aminuddin.

Majlis diteruskan dengan acara menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan diikuti oleh para jemputan khas yang hadir.

2_Masjid baharu RPN Lumut akan dibina.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa acara menuang simen bagi masjid baharu berkenaan.

3_Masjid baharu RPN Lumut akan dibina.JPG

SETIAUSAHA Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak turut sama mengikuti acara menuang simen.

Seterusnya, Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid.

Di penghujung majlis, tetamu kehormat bersama serta para jemputan yang hadir menyaksikan pameran mengenai ciri-ciri bangunan masjid baharu tersebut.

4_Masjid baharu RPN Lumut akan dibina.JPG

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan menyaksikan pameran mengenai ciri-ciri bangunan masjid baharu tersebut.

Bangunan masjid baharu ini dijangka siap pembinaannya pada bulan Januari 2024 menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara dengan anggaran berjumlah BND4.7 juta.

Keseluruhan kapasiti masjid baharu Rancangan Perumahan Negara ini boleh menampung seramai lebih kurang 2,045 orang jemaah.

Antara kemudahan yang disediakan di masjid ini ialah Dewan Sembahyang Utama Lelaki, Dewan Sembahyang Perempuan, Bilik Kuliah, Bilik Perpustakaan, Bilik P.A. Sistem, Pejabat Imam dan Bilal, Tandas dan Tempat Berwudhu Lelaki, Tandas dan Tempat Berwudhu Perempuan, Tandas Orang Berkeperluan Khas Lelaki, Tandas Orang Berkeperluan Khas Perempuan, Bilik Pengurusan Jenazah, Bilik Stor, Dapur dan Tempat Letak Kereta Orang Awam serta Tempat Kereta Orang Berkeperluan Khas.​

Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pembangunan.

Sumber: Siaran Akhbar Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Attachments