Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Anak-anak yatim diraikan di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_Anak-anak yatim diraikan di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa sesi bergambar ramai bersama anak-anak yatim di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Derma Kepada Anak-Anak Yatim Bagi Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

BERAKAS, Khamis, 13 April. – Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Derma Kepada Anak-Anak Yatim Bagi Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya telah diadakan pada pagi hari ini yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Kemeterian Pembangunan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Awang Hifzhuddin bin Lamudin diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahannya oleh Awang Darwish bin Hamdan dan Awang Muhammad Darwish Hakimi bin Mardeny @ Yakub, pelajar-pelajar dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

3_Anak-anak yatim diraikan di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran.JPG

BACAAN ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahannya yang dibacakan oleh Awang Darwish bin Hamdan dan Awang Muhammad Darwish Hakimi bin Mardeny @ Yakub, pelajar-pelajar dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bagi menyemarakkan lagi majlis tersebut, ceramah khas bertajuk “Ibrah dari Peristiwa Nuzul Al-Quran" telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Imam Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid.

2_Anak-anak yatim diraikan di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran.JPG

MAJLIS diisikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Imam Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

Acara diteruskan dengan penyampaian derma anak-anak yatim yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat. Seramai 58 orang anak yatim yang terdiri daripada ahli keluarga warga Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya menerima sumbangan derma tersebut.

4_Anak-anak yatim diraikan di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran.JPG
5_Anak-anak yatim diraikan di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyampaikan derma kepada anak-anak yatim.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Dr. Awang Haji Muhammad Majdi bin Pehin Dato Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Abdul Aziz.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohammad Salleh; Ketua-ketua Jabatan, Divisyen dan Unit, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis ini merupakan salah satu aktiviti keugamaan tahunan Kementerian Pembangunan yang dikendalikan oleh Jabatan-Jabatan, Divisyen dan Unit di bawah Kementerian Pembangunan secara bergilir-gilir. Antara lain objektif majlis seumpama ini diadakan ialah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian serta menunjukkan sifat keprihatinan kepada golongan anak-anak yatim yang terdiri daripada kalangan keluarga kakitangan di kementerian ini.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments