Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Penandatanganan perjanjian pengurusan sisa buangan dan aktiviti kitar semula

​Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

2_Penandatanganan perjanjian pengurusan sisa buangan dan aktiviti kitar semula.jpg

MAJLIS Penandatangan Perjanjian bagi pengurusan sisa buangan dan aktiviti kitar semula.

BERAKAS, Khamis, 20 April. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah menyewakan tapak seluas 2.1302 hektar yang terletak di Kampong Tanjong Maya, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong kepada Kehasan (B) Sdn. Bhd. untuk menjalankan dan memberikan perkhidmatan pengurusan sisa buangan dan aktiviti kitar semula bagi tempoh 20 tahun.

Ini merupakan salah satu strategi dan usaha pihak Kerajaan dalam mengendalikan projek usahasama dengan pihak swasta dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, hijau dan selamat, dengan mengukuhkan dan meningkatkan keupayaan pengurusan sisa buangan di negara ini ke arah satu sistem yang bersistematik dan inklusif.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penandatangan Perjanjian bagi pengurusan sisa buangan dan aktiviti kitar semula berkenaan telah diadakan pagi tadi di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menandatangani Perjanjian tersebut bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, dan Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit. Manakala menandatangani bagi pihak Kehasan (B) Sdn. Bhd. ialah Pengarah-Pengarah syarikat tersebut iaitu Pengiran Dato Paduka Osman bin Pengiran Haji Patra dan Awang Jefrey Shim Fook Loi.

1_Penandatanganan perjanjian pengurusan sisa buangan dan aktiviti kitar semula.JPG

MENANDATANGANI Perjanjian bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan dan Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, manakala menandatangani bagi pihak Kehasan (B) Sdn. Bhd. ialah Pengarah-Pengarah syarikat tersebut.

Di antara perkhidmatan yang diberikan oleh Kehasan (B) Sdn. Bhd. ialah pelupusan tayar-tayar terpakai secara mesra alam iaitu dengan menggunakan teknologi pirolisis yang mempu mengitar semula tayar-tayar tersebut untuk menghasilkan minyak bahan api (pyro oil), manakala dawai keluli (steel wires) yang terdapat di dalam tayar mampu diekstrak dan dihantar ke syarikat kitar semula untuk proses selanjutnya. Fasiliti tersebut telah menerima secara purata sebanyak 17,000 tayar setiap bulan setakat ini. Selain itu, fasiliti di tapak tersebut juga boleh menguruskan dan merawat sisa-sisa buangan berbahaya seperti minyak terpakai, sisa buangan hidrokarbon, bahan-bahan kimia, air kumbahan industri dan tiub lampu jenis fluorescent.

Turut hadir semasa Majlis Penandatangan Perjanjian tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Mohammad Salleh, serta Pegawai-Pegawai Kanan daripada Kementerian tersebut dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

Attachments