Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Sesi dialog bersama Qualified Persons 01/2023

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Sesi dialog bersama Qualified Persons 012023.jpg

SESI dialog bersama Qualified Persons diisikan dengan taklimat yang disampaikan oleh pihak Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dan Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya.

BERAKAS, 16 Mei. – Sebagai meneruskan siri tahunan program kesedaran Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), satu dialog bersama Qualified Persons, QP (Orang yang Berkelayakan) telah diadakan pada petang ini di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Latihan dan Kemahiran Kerja, Kementerian Pembangunan.

Acara berkenaan telah dihadiri oleh Jurutera Profesional yang berdaftar dibawah Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS) di dalam bidang sivil dan struktur dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pembangunan serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

Sesi Dialog Qualified Persons yang pertama bagi tahun 2023 ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai dengan kepentingan mematuhi Perintah dan Peraturan Kawalan Bangunan, 2014 serta garispanduan yang berkuatkuasa pada masa ini khususnya memperingatkan tanggungjawab Qualified Persons dalam memastikan mana-mana perancangan dan perlaksanaan kemajuan dibuat hendaklah dengan teratur dan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan semua pihak, iaitu bukan saja keperluan klien tetapi juga orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan.

Antara perkara yang dikongsikan semasa sesi dialog berkenaan ialah kes-kes aduan yang diterima dari orang ramai yang melibatkan aktiviti-aktiviti kemajuan/pembinaan adalah meningkat sebanyak 216 peratus daripada 249 kes pada tahun 2021 kepada 539 kes pada tahun 2022.

2_Sesi dialog bersama Qualified Persons 012023.jpg

SESI dialog dihadiri oleh Orang-orang Yang Berkelayakan (Qualified Persons).

Aduan-aduan tersebut merangkumi isu-isu berkaitan dengan kejadian tanah susur, dinding roboh, longkang atau saliran tersumbat dan kerosakan jalan laluan. Peningkatan berkenaan sudah cukup bagi mencetuskan satu tindakan pendekatan diambil yang memerlukan bukan sahaja usaha daripada pihak Kerajaan tetapi sepatutnya sudah ditangani dan diselaraskan oleh pihak-pihak yang telah dipertanggungjawabkan.

Pihak ABCi dan Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya telah menyampaikan taklimat mengenai dengan keperluan-keperluan proses permohonan kebenaran kemajuan yang berjalan pada masa ini serta perkongsian dapatan hasil siasatan dari kes-kes yang diterima dan isu-isu berkaitan dengan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap Perintah dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bangunan yang memerlukan perhatian dan kerjasama dari pihak-pihak yang terlibat.

Dialog yang sama juga akan diadakan bersama Syarikat Pembina dan Ejen-Ejen hartanah yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan, serta pemaju pada penghujung bulan Mei 2023 ini.

3_Sesi dialog bersama Qualified Persons 012023.jpg

ANTARA yang hadir ke sesi dialog bersama Qualified Persons.

Pihak Kementerian Pembangunan akan sentiasa mendokong usaha-sama ke arah memastikan industri pembinaan di negara ini adalah sentiasa dilaksanakan dengan teratur dan memberi manfaat kepada semua pihak.

Sebarang maklumat lanjut bolehlah diperolehi melalui laman sesawang www.abci.gov.bn atau melalui email kepada abci.customerservice@mod.gov.bn.

Sumber: Siaran Akhbar Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

Attachments