Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pertukaran lawatan tahunan Brunei-Singapura Ke-16

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Pertukaran lawatan tahunan Brunei-Singapura Ke-16.JPG

2_Pertukaran lawatan tahunan Brunei-Singapura Ke-16.JPG

SESI bergambar ramai Pertukaran Lawatan Tahunan Brunei Darussalam-Singapura ke-16 (BSAEV ke-16).

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 Oktober. – Pertukaran Lawatan Tahunan Brunei Darussalam-Singapura ke-16 (BSAEV ke-16), di bawah rangka Memorandum Persefahaman (MoU) Dua Hala mengenai Hal Ehwal Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang diperbaharui pada tahun 2022, telah diadakan di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Brunei Darussalam-Singapura mengenai Alam Sekitar (BSJCE ke-16) telah diadakan sebelum Mesyuarat peringkat Menteri ini.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid mengetuai delegasi dari Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Seria Awang Haji Zakaria; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar, dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, dan Sekretariat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.

Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Puan Yang Terutama Grace Fu telah mengetuai delegasi Republik Singapura yang terdiri daripada Setiausaha Tetap, Mr. Stanley Loh dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan dan PUB (Agensi Kebangsaan Singapura).

Semasa mesyuarat tersebut, Menteri-menteri menegaskan semula hubungan dua hala yang kukuh di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura serta mengesahkan komitmen untuk memupuk perkembangan yang berterusan dan mengukuhkan kerjasama dalam perlindungan alam sekitar dan perubahan iklim.

Menteri-menteri mengambil maklum mengenai perkembangan projek-projek dan program-program yang telah dilaksanakan oleh kedua buah negara dalam bidang pengurusan sisa pepejal, pengurusan kualiti udara, pengurusan sumber air, program belia alam sekitar dan perubahan iklim.

Inisiatif-inisatif terbaru dari Negara Brunei Darussalam dalam pengurusan sisa pepejal termasuk melaratkan pemasangan sistem kamera pengawasan ke dua daerah yang lain, iaitu Daerah Tutong dan Belait, di lokasi-lokasi yang stategik, berjaya mengenal pasti pesalah dan mengenakan denda kompaun; peringkat akhir penggubalan Peraturan Pengurusan Sisa Buangan; serta inisiatif hari kitar semula di seluruh negara untuk menggalakkan kesedaran dan menerapkan tabiat kitar semula di kalangan orang ramai dalam kehidupan seharian mereka.

Sementara itu, Singapura memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menguruskan sisa elektrikal dan elektronik ('e-waste') dan sisa pembungkusan, seperti pelaksanaan Caj Beg Pakai Buang ('Disposable Carrier Bag Charge') bermula 3 Julai 2023, pengenalan rancangan Skim Pemulangan Bekas Minuman ('Beverage Container Return Scheme') mulai 1 April 2025, kajian berterusan untuk menubuhkan rantaian nilai kitar semula kimia, dan mengitar semula bateri litium di bawah Skim Tanggungjawab Lanjutan Pengeluar bagi Sisa Elektrikal dan Elektronik ('Extended Producer Responsibility (EPR) Scheme for E-waste').

Menteri-menteri turut mengalu-alukan pertukaran maklumat yang berguna mengenai pengurusan dan inisiatif kualiti udara, termasuk pemantauan kualiti udara dan langkah-langkah pengawalseliaan untuk pelepasan industri.

Menteri-menteri mengambil maklum mengenai perkembangan kerjasama pengurusan sumber air, termasuk cadangan Negara Brunei Darussalam melanjutkan kolaborasi untuk menambah baik kecekapan proses rawatan air serta mempertingkatkan kebolehpercayaan rangkaian dan sistem air tersebut. Menteri-menteri juga mengambil maklum usaha di bawah program dan aktiviti belia alam sekitar seperti Anugerah ASEAN Eco-Schools yang ke-4 dan Anugerah ASEAN Youth Eco-Champions yang ke-2.

Menteri-menteri mengambil maklum bahawa kedua-dua pihak telah mengadakan pertukaran teknikal untuk berkongsi pengalaman mengintegrasi pertimbangan dan penilaian alam sekitar dalam reka bentuk dan penempatan pembangunan-pembangunan baharu.

Mengenai perubahan iklim, Menteri-menteri mengalu-alukan kesimpulan Perjanjian Penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC) yang dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam. Menteri-menteri juga bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama perihal penyesuaian iklim dan bertukar-tukar pandangan mengenai inisiatif untuk meningkatkan daya tahan haba di rantau ini, seperti Nasihat Tekanan Haba Singapura ('Singapore's Heat Stress Advisory').

Menteri-menteri menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan anggota ASEAN yang lain untuk menggalakkan kerjasama dalam perlindungan alam sekitar, termasuk usaha untuk mencegah, memantau, dan mengurangkan jerebu rentas sempadan, serta menangani kesan perubahan iklim. Mereka menyatakan bahawa kerjasama itu penting untuk mencapai pembangunan yang mampan dan memastikan persekitaran yang sihat dan bersih di rantau ini.

Menteri-menteri mengesahkan komitmen untuk meningkatkan kerjasama dan memupuk persahabatan dan perkongsian yang lebih erat di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Singapura akan menjadi tuan rumah BSAEV ke-17 pada tahun 2024.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

Attachments