Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kementerian Pembangunan semarakkan Nuzul Al-Quran​

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Kementerian Pembangunan semarakkan Nuzul Al-Quran.jpeg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran diselajurkan dengan Penyampaian Sumbangan Derma Kepada Anak-Anak Yatim.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 4 April. – Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran yang diselajurkan dengan Penyampaian Sumbangan Derma Kepada Anak-Anak Yatim Bagi Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya telah diadakan di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahannya oleh siswa-siswa dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Zainal Mustapa bin Jaluddin dan Awang Mohamed Norizyan Auni bin Haji Noriswandy.

2_Kementerian Pembangunan semarakkan Nuzul Al-Quran.jpeg

BACAAN ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahannya oleh siswa-siswa dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis diserikan dengan ceramah khas Nuzul Al-Quran bertajuk 'Al-Qur'an Panduan Hidup' yang disampaikan oleh penceramah undangan, Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Awang Hilman bin Haji Salim.

Antara isi kandungan ceramah tersebut adalah mengenai Al-Quran yang diturunkan sebagai mukjizat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan menjadi panduan dan pedoman bagi kehidupan manusia.

Juga ditekankan adalah kepentingan untuk berpegang kepada Al-Quran melalui pengamalan dan pemahaman yang benar supaya manusia tidak akan tersesat daripada kebenaran dalam menjalani kehidupan di dunia menuju kehidupan akhirat.

3_Kementerian Pembangunan semarakkan Nuzul Al-Quran.jpeg

CERAMAH khas bertajuk 'Al-Qur'an Panduan Hidup' disampaikan oleh penceramah undangan, Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, KUPUSB, Awang Hilman bin Haji Salim.

Ini disebabkan Al-Quran adalah kitab suci yang diyakini kebenarannya dan keasliannya dan menjadi pedoman bagi manusia untuk mengenal Allah, menghapuskan kesyirikan serta mengatur kehidupan sesuai dengan fitrah manusia.

Ceramah tersebut juga menekankan kepentingan untuk menunaikan lima hak Al-Quran, iaitu Membaca, Memahami, Mengamal, Menghafaz dan Menyampaikan.

Majlis kemudian diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma kepada 86 orang anak-anak yatim yang terdiri daripada ahli keluarga warga Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

4_Kementerian Pembangunan semarakkan Nuzul Al-Quran.jpeg 5_Kementerian Pembangunan semarakkan Nuzul Al-Quran.jpeg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abd. Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohammad Salleh; ketua-ketua Jabatan, Divisyen dan Unit, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis pada tahun ini dikendalikan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Attachments