Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Jabatan Ukur dominasi anugerah KKC peringkat Kementerian Pembangunan

Oleh: Haniza Abdul Latif, Nur Asrina binti Idris | Foto: Azmah Haji Ahad | Ahad, 14 Ogos 2016

 f29efc6f24e3930f93f76ec7beeb8a5a_XL.jpg

TIMBALAN Menteri Pembangunan menyampaikan hadiah kepada Kumpulan PG1516 wakil dari Jabatan Ukur yang muncul Juara KKC.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 13 Ogos. - Jabatan Ukur berjaya mendominasi tiga tangga teratas pada Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) peringkat Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Juara yang membentangkan projek bertajuk 'Kelambatan Pembuatan Peta di Bahagian Pemetaan Geospatial' dimenangi oleh Kumpulan PGS1516, membawa pulang Piala Iringan Sumbangan Menteri Pembangunan, wang tunai BND 1,000 dan sijil penghargaan.

Sementara itu, naib johan disandang oleh Kumpulan LAKAS dengan kertas kerja bertajuk 'Pengurusan Minyak Kenderaan Laut Kurang Berkesan' memenangi wang tunai BND800 dan sijil penghargaan, manakala Kumpulan ITQAN yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Penggunaan Stesen Geodetik Berkurangan' menduduki tempat ketiga memenangi wang tunai BN600 dan sijil penghargaan.

130816_AZMAH4_KKC.jpg 

TIMBALAN Menteri Pembangunan menyampaikan hadiah kepada Kumpulan LAKAS wakil dari Jabatan Ukur yang muncul naib juara KKC.

Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, di sini.

Terdahulu itu, Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, satu inisiatif baharu yang telah dilaksanakan bagi pembaikan atau membaharui proses kerja di Kementerian Pembangunan, iaitu dengan mengadakan, secara khusus, Cafe KKC Kementerian untuk kumpulan-kumpulan KKC yang memerlukan bimbingan, sebagai tambahan pada program-program bantuan lain seperti KKC Team Based yang dikelolakan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA).

 130816_AZMAH5_KKC.jpg

TIMBALAN Menteri Pembangunan menyampaikan hadiah kepada Kumpulan ITQAN wakil dari Jabatan Ukur yang muncul tempat ketiga KKC.

Beliau menjelaskan, salah satu usaha bagi meningkatkan lagi penggunaan kaedah KKC secara meluas di Kementerian Pembangunan ialah meningkatkan pemahaman konsep dan manfaat yang diperolehi, yang mana dengan pemahaman lebih mendalam ke atas kaedah KKC, terutamanya di peringkat ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua divisyen / bahagian, akan menggalakkan lebih banyak penggunaan kaedah ini serta memberikan komitmen serta 'support' kepada kumpulan-kumpulan KKC melaksanakan program KKC masing-masing mengikut jadual yang telah dirancang.

Katanya, pelaksanaan program KKC bukanlah semata-mata untuk mengikuti Konvensyen KKC sahaja, malahan yang lebih bermakna ia bertujuaan untuk memperbaiki atau membaharui proses-proses kerja ke arah meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan satu-satu organisasi.

 130816_AZMAH1_KKC.jpg

UCAPAN alu-aluan dari pengerusi Majlis Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC).

Pada tahun ini, sebanyak 11 pasukan telah menyertai pertandingan KKC di peringkat Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, iaitu tujuh kumpulan dari Jabatan Ukur, dua kumpulan dari Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Tanah juga Jabatan Mekanikal dan Elektrikal, JKR masing-masing dengan satu kumpulan.

Konvensyen KKC peringkat Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya merupakan aktiviti tahunan kementerian berkenaan yang bertujuan untuk menggalakkan setiap jabatan untuk mengadakan kumpulan-kumpulan bertindak bagi menangani masalah-masalah yang dikenal pasti di jabatan masing-masing sebagai usaha pembaikan secara berterusan ke atas proses kerja bagi memperbaiki perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan dan produktiviti kerja ke arah mencapai tahap prestasi serta kualiti kerja juga perkhidmatan lebih tinggi.

Ia juga dihasrat untuk dibudayakan sebagai satu kaedah atau cara yang boleh meningkatkan pencapaian yang memberikan kesan positif bukan sahaja pada jabatan masing-masing, malahan juga pada kementerian dan negara.

Turut hadir Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny; Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah; ketua-ketua pengarah, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai dan kakitangan kementerian tersebut.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments