Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Detik bersejarah penyiapan Jambatan Sungai Kebun
Oleh: Siaran Akhbar | Foto: Kementerian Pembangunan | Ahad, 21 Ogos 2016

4f0d18f98bcb127a8f88afb401a5defc_XL.jpg
KUBAH berukuran 8.7 meter garis pusat telah dinaikkan dan dipasang di atas menara jambatan pada paras 130m.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 20 Ogos. - Dua detik bersejarah ke arah penyiapan pembinaan struktur utama Jambatan Sungai Kebun telah berlangsung hari ini.

Pertama ialah penyambungan (stitching) bahagian terakhir yang menemukan struktur-struktur jambatan yang telah masing-masing dibina di kedua-dua belah Sungai Brunei, dan kini sudah menghubungkan Bandar Seri Begawan dengan Mukim Sungai Kebun, Mukim Lumapas dan sekitarnya.

Pada masa yang sama, kubah berukuran 8.7 meter garis pusat juga telah dinaikkan dan dipasang di atas menara jambatan pada paras 130m.

Kerja-kerja penyiapan ke atas jambatan tersebut turut disaksikan oleh tetamu kehormat, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah.

Doa Selamat telah dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Pintu Malim, Awang Haji Muhamad Azrol Alim bin Haji Zaini.

Beberapa wakil agensi kerajaan yang terdiri dari Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas Pasukan Polis Diraja Brunei, Paramedik Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Laut dan Jabatan Kerja Raya telah ditugaskan di tapak untuk memantau dan memastikan keselamatan orang awam, khususnya pengguna-pengguna jalan raya dan perahu-perahu di kawasan yang terlibat.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang berkaitan.

Sumber: Pelita Brunei.
Attachments