Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kumpulan Jabatan Ukur ungguli Konvensyen KKC Ke-19

​Oleh: Khartini Hamir | Foto: Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah (sesi pagi) Hernie Suliana Haji Othman (sesi petang) | Jumaat, 11 November 2016

4fc1a2b8d0a500f448191a62237ba9ed_XL.jpg 

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud bergambar ramai bersama pemenang pertama Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Kebangsaan Ke-19 disandang oleh Kumpulan LAKAS dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 November. - Kumpulan-kumpulan dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan sekali lagi mempamerkan kehebatan masing-masing apabila berjaya memenangi tiga tempat teratas pada Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) Peringkat Kebangsaan Ke-19 Tahun 2016.

Pada konvensyen yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Jabatan Perdana Menteri itu, tempat pertama disandang oleh Kumpulan LAKAS dengan tajuk projek mereka 'Pengurusan Minyak Kenderaan Laut Kurang Berkesan'; diikuti di tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan PGS1516 dengan tajuk projek 'Kelambatan Pembuatan Peta Di Bahagian Pemetaan Geospatial' dan tempat ketiga ialah Kumpulan ToCad dengan projek mereka 'Pelan Akui Yang Tidak Mengikut Spesifikasi'.

Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas yang aktif menyertai konvensyen berkenaan, sementara Anugerah Fasilitator Terbaik disandang oleh Dayang Hajah Rusinah binti Haji Awang Tengah juga dari Jabatan Ukur.

Sementara itu, Kumpulan ITQAN dan Kumpulan TBT15, masing-masing dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan menerima saguhati.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan anugerah kepada para peserta ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud.

Pada Anugerah Projek KKC ini juara menerima wang tunai BND6,000 berserta piala dan sijil penyertaan; naib juara membawa pulang wang tunai BND4,000 berserta piala dan sijil penyertaan dan tempat ketiga menerima wang tunai BND2,000 berserta piala dan sijil penyertaan.

Manakala kumpulan yang menerima saguhati masing-masing membawa pulang wang tunai BND1,000 berserta sijil penyertaan dan Anugerah Persembahan Terbaik membawa pulang wang tunai BND1,000 berserta sijil penghargaan.

Terdahulu, Majlis Penutup Konvensyen dimulakan dengan dengan tayangan klip video KKC 2016 dan kemudiannya diikuti dengan penyampaian ulasan penilaian oleh Ketua Panel Penilai, Awang Haji Abdul Aziz bin Dato Paduka Haji Abdullah yang antara lain menjelaskan pemarkahan projek KKC dinilai melalui laporan projek KKC, pembentangan semasa Sesi Tertutup, tinjauan dan persembahan semasa Sesi Terbuka.

101116_AMP1_KKC.jpg 

PERSEMBAHAN ITQAN dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan pada Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kali Ke-19, Tahun 2016 (Sesi Pagi) bertempat di Dewan Teater, Aras 1, Bangunan Jabatan Perdana Menteri Berakas.

Sesi Terbuka berkenaan jelasnya, menampilkan persembahan kumpulan-kumpulan yang diwarnai dengan pelbagai kaedah penyampaian projek termasuk tayangan video, drama dan ilustrasi projek, selain dapat menjana kreativiti kumpulan-kumpulan yang bertanding melalui gaya persembahan yang bersinergi serta menarik seperti sketsa, nyanyian dan suntingan video penceritaan projek masing-masing.

Secara keseluruhan prestasi KKC yang bertanding pada tahun ini adalah meningkat walaupun jumlah yang menyertai adalah menurun.

Sebanyak sembilan kumpulan dari lima jabatan yang mewakili empat buah kementerian kerajaan membentangkan projek masing-masing pada konvensyen yang diadakan pada sebelah pagi dan petang itu.

Pembentangan projek-projek ini adalah menjurus dalam kategori seperti Pembaikan Proses, Perkhidmatan Pelanggan, Penjimatan Kos dan Masa, Perubahan Budaya Kerja dan Organisasi dan Produktiviti dan Kualiti.

Konvensyen KKC Ke-19 anjuran Institut Perkhidmatan Awam (IPA) kali ini telah dihadiri oleh lebih dari 300 orang jemputan yang terdiri daripada Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, serta pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari kementerian-kementerian kerajaan.

Teks disesuaikan dari Pelita Brunei.

Attachments