Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Keberangkatan lawatan kerja DYTM ke tapak-tapak projek RKN Ke-10

Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim, Nooratini Haji Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Januari. – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10 hari ini berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja kali kesembilan ke beberapa buah tapak projek RKN Ke-10 khususnya di bawah Kementerian Pembangunan.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Pejabat Tapak Projek dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Rahman bin Haji Ibrahim selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi RKN Ke-10; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Bahrin bin Abdullah serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi RKN Ke-10.

DYTM kemudian dijunjung berangkat bagi mendengarkan sembah taklimat yang dimulakan dengan bacaan Surah Al Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Mohammad Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar.

Sembah taklimat berkenaan disembahkan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin mengenai projek-projek yang akan dilawati.

Selesai mendengarkan sembah taklimat, DYTM seterusnya dijunjung dan diiringi oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan untuk berangkat melawat ke Tapak Projek Revitalisasi Kampong Ayer Zone 'A' dimana DYTM menerima sembah penerangan mengenai status terkini projek tersebut yang disembahkan oleh Pemangku Pengarah Saliran dan Pembentungan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Awang Haji Mohd. Salleh bin Haji Abdul Karim.

Setelah itu, DYTM kemudiannya dijunjung beredar ke Tapak Projek Revitalisasi berdekatan kawasan Jeti Kampung Sumbiling.

Disini, DYTM menerima sembah penerangan daripada Pemangku Jurutera Kerja, JKR, Pengiran Muhammad Fuad bin Pengiran Haji Ali dan kemudiannya dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan diikuti dengan sesi bergambar ramai.

Projek Revitalisasi Kampong Ayer Zone 'A' Menimbuk dan Manambak dari Sungai Kedayan ke Jabatan Edinburgh – Regenerasi Sungai Kedayan (Design and Build) telah bermula pada bulan Januari 2016 dan dijangka akan siap pada bulan Mei 2018 dengan menelan kos perbelanjaan sebanyak BND35,991,266.47.

Matlamat-matlamat Projek Revitalisasi Kampong Ayer Zone 'A'  Menimbuk dan Manambak dari Sungai Kedayan ke Jabatan Edinburgh – Regenerasi Sungai Kedayan (Design and Build) tersebut adalah untuk mengurangkan banjir bagi kawasan tadahan Sungai Kedayan, di samping bagi meningkatkan hubungan dan gaya hidup budaya yang sihat untuk orang ramai.

Selain itu ianya juga bertujuan bagi menyediakan platform untuk pembangunan ekonomi yang manpan di masa depan.

Selesai di tapak projek berkenaan, DYTM dijunjung beredar ke Tarindak D'Seni untuk melihat pemandangan keseluruhan Tapak Projek yang akan dilawati seterusnya iaitu Fasa 2 Projek Pembesaran Jalan Residency.

Disini DYTM telah berkenan mendengarkan sembah penerangan mengenai Projek tersebut yang disembahkan oleh Pemangku Pengarah Jalan Raya, JKR, Awang Haji Mazlan bin Haji Abdul Salim.

Selepas itu, DYTM juga berkenan menikmati Santap Pagi.

Untuk melihat dengan lebih dekat lagi, DYTM kemudiannya berkenan berangkat ke Tapak Projek Pembesaran Jalan Residency (Fasa 2) dimana DYTM menerima sembah penerangan daripada Pemangku Penolong Pengarah Jalan Raya, JKR, Awang Rafitra bin Haji Abdul Razak.

Sejurus itu, DYTM dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan diikuti dengan sesi bergambar ramai.

Projek Pembesaran Jalan Residency (Fasa 2) yang menelan belanja kos perbelanjaan bernilai BND49 juta itu adalah merupakan kesinambungan projek menaik taraf Jalan Residency Fasa I yang telah siap dilaksanakan pada tahun 2013.

Projek tersebut antara lain bertujuan untuk melicinkan pergerakan lalu lintas terutama bagi pengguna jalan raya yang berulang alik dari Bandar Seri Begawan (BSB) menuju ke Jalan Kota Batu, selain setelah siap Jambatan Sungai Kebun nanti jumlah trafik dari Mukim Lumapas dan sekitarnya yang akan melalui kawasan tersebut akan meningkat.

Di samping itu, projek tersebut juga dihasratkan untuk mencantikkan lagi pemandangan di sekitar BSB bagi orang ramai dan juga para pelancong.

Projek Pembesaran Jalan Residency (Fasa 2) itu telah melibatkan pembesaran Jalan Residency sepanjang 1.2 kilometer iaitu bermula dari Jambatan Sungai Kianggeh hingga ke Bubungan Dua Belas.

Antara skop kerja projek yang dilaksanakan di bawah Fasa 2 termasuk kerja-kerja utama iaitu membina empat lorong dua hala dari Jambatan Sungai Kianggeh ke Bubungan Dua Belas; menaik taraf persimpangan Jalan Subok ke Jalan Residency; menyediakan ruang pejalan kaki seluas lapan meter; menyediakan pondok-pondok jeti yang lebih selesa dan selamat untuk kemudahan penduduk Kampung Ayer; pembangunan semula Gerai Makan Kianggeh; menyediakan 270 unit letak kereta yang teratur dan selesa; pemasangan lampu isyarat di persimpangan Jalan Subok dan Jalan Baru; membaik pulih stesen pam (PS6) yang sedia ada dan pemasangan lampu jalan.

Seterusnya, DYTM dijunjung berangkat ke Tapak Projek Pembinaan Jambatan Penghubung dari Sungai Kebun ke Jalan Residency.

Di sini, DYTM berkenan mendengarkan sembah penerangan daripada Pemangku Pengarah Jalan Raya, sebelum berkenan menaiki kenderaan khas untuk meninjau sepanjang jambatan sehingga ke hujung Jalan Sungai Kebun.

DYTM seterusnya dijunjung berangkat ke pertengahan Jambatan Penghubung berkenaan untuk mendengarkan sembah penerangan sebelum menandatangani lembaran kenangan dan bergambar ramai pada mengakhiri lawatan kerja hari ini.

Projek pembinaan jambatan penghubung sepanjang 607 meter itu memakan masa selama tiga tahun dan merupakan projek di bawah RKN Ke-10 dengan nilai BND139 juta termasuk pembinaan dua buah jejambat iaitu sebuah jejambat di Jalan Residency dan sebuah jejambat di Jalan Sungai Kebun.

Projek yang dikendalikan oleh JKR, Kementerian Pembangunan ini telah memberikan kepercayaan pembinaannya kepada usahasama Syarikat Swee Sdn. Bhd., Daelim Industrial Company Limited dan TRC.

Dengan terbinanya jambatan itu nanti akan menghubungkan dua buah kawasan utama di negara ini iaitu Bandar Seri Begawan dan Mukim Lumapas.

Projek jambatan penghubung itu mengambil kira beberapa kriteria yang utama dengan konsep reka bentuk yang memberi impak positif kepada peredaran trafik, reka bentuk yang ikonik yang dapat dijadikan sebagai mercu tanda di negara ini selaras dengan kedudukannya yang terletak di persekitaran ibu negara selain kos pembinaan yang berpatutan.

Projek yang julung-julung kali dilaksanakan di negara ini iaitu pembinaan 'cable stayed bridge' sepanjang 300 meter 'main span' dan 157 meter 'high cable (pylon) tower' dan jika siap nanti ianya akan menjadi 'cable stayed bridge' yang pertama di negara ini.

Projek tersebut dilaksanakan secara 'design and build contract', yang mana pemborong dikehendaki melantik jurutera perunding yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembinaan jambatan 'cable stayed bridge'.

Dengan terbinanya jambatan penghubung ini secara langsung mencerminkan satu lagi mercu tanda yang melambangkan kejayaan dalam bidang industri pembinaan baik di negara ini mahupun di rantau ini, apatah lagi ianya melibatkan pemborong dari luar negara yang sememangnya berpengalaman dan berkemahiran.

Dalam pada itu, lawatan kerja DYTM ke tapak-tapak projek RKN Ke-10 ini mencerminkan kepimpinan DYTM di dalam memastikan perlaksanaan projek-projek yang dirancang berjalan dengan lancar demi mendukung hasrat Negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Sumber: Pelita Brunei.

IMG_9328-008.JPG

IMG_9316-006.JPG

IMG_9298-005.JPG

IMG_9344-010.JPG

IMG_9282-003.JPG

Gambar: Kementerian Pembangunan.

Attachments