MAJLIS PENYEMPURNAAN PENGANUGERAHAN ANAK-ANAK KUNCI RUMAH 
DIBAWAH RANCANGAN PERUMAHAN NEGARA KAMPONG RIMBA, GADONG DAN
PERUMAHAN TERES KAMPONG MENTIRI SERTA GERAN-GERAN TANAH DI BAWAH
SKIM PENGGERANAN TAPAK RUMAH DI ATAS LESEN TUMPANG SEMENTARA
BAGI DAERAH BRUNEI DAN MUARA
 

Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan bagi mengurniakan anak-anak kunci rumah serta geran tanah kepada 112 penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara Kampong Rimba dan Perumahan Teres Kampong Mentiri serta Skim Penggeranan Tapak Rumah Di atas Lesen Tumpang Sementara bagi Daerah Brunei dan Muara.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Rancangan Perumahan Negara Kampong Mentiri telah dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah, Menteri Pembangunan, Pehin Orang kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato Paduka Haji Yussof, Pegawai Daerah Brunei dan Muara dan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Kerajaan.

Majlis dimulakan dengan Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung bersama-sama membaca Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara dan seterusnya sembah alu-aluan oleh Yang Mulia Pegawai Daerah Brunei dan Muara.

Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudian dijunjung oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan untuk menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah Di Bawah Rancangan Perumahan  Negara Kampong Rimba, Gadong dan Perumahan Teres Kampong Mentiri Bagi Daerah Brunei dan Muara.

Selepas selesai majlis tersebut, doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara.

Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudian dijunjung berangkat  membuat lawatan di Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja Mentiri. Sekolah ini telah dibuka pada tahun 1994. Pada tahun lepas, sekolah ini telah berjaya menjuarai beberapa acara sukan, hadrah, peraduan bacaan Al-Quran, pertanding Robotech dan Projek BRIGHT (Brainy, Resourceful, Intelligent, Gifted, Hard-Working and Talented). Kebawah Duli juga berkenan menyaksikan berbagai aktiviti sekolah seperti Kadet Polis, Tekwando, Persatuan Pengakap dan juga persembahan Formula-One Wind Tunnel.

Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudian berangkat berkunjung ke kediaman beberapa penerima anak-anak kunci, ke Syarikat Seri Pekatan di Lambak Kanan, Kawasan Perindustrian, Gerai Aneka Ria di Kampong Rimba, Giant Hypermarket Tasik Rimba dan Hama Supermarket di Kampong Tungku. Acara diakhiri dengan majlis santap yang diadakan di kediaman Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail di Kampong Tungku.

                                                                                                                                  foto