|
MAJLIS HARI PELANCARAN BUKU SEMPADAN MUKIM DAN KAMPUNG NEGARA BRUNEI DARUSSALAM |
||
|
|
||
|
|
Majlis tersebut yang dikendalikan oleh Jabatan Ukur sempena Hari GIS (Geographical Information System) Sedunia diadakan pagi tadi di Dewan Bilik Bertabur, Kementerian Pembangunan. Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Awang Haji Bakar, Menteri Pembangunan. Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Yang Mulia Dato Paduka Dr. Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Awang Haji Mohd Said bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim, Setiausaha Tetap (Teknikal & Professional) dan Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Setiausaha Tetap (Pentadbiran & Kewangan). Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya Awang Haji Mohd Jamil bin Haji Mohd Ali, Juruukur Agung memberikan ucapan alu-aluan. Yang Berhormat Pehin Menteri dalam ucapannya menerangkan bahawa Hari GIS Sedunia berperanan untuk memberi kesedaran mengenai teknologi GIS yang boleh mengubah hidup semua dimana ia sudah digunakan dimerata tempat terutama di negara-negara yang maju. Katanya lagi, kini adalah perlu bagi negara ini untuk membuat langkah-langkah kajian sejauh mana sistem GIS digunapakai di negara ini. |
|
|
Yang Berhormat Pehin Menteri menambah dalam dunia globalisasi kini semua pihak semakin sedar tentang kemajuan tanah dan pembangunan ekonomi juga boleh membawa kesan pencemaran alam sekitar jika tidak dibendung. Untuk mengatasi masalah itu sistem GIS boleh membuat sukatan penggunaan tanah yang sebaik-baiknya dan paling utama ke arah kemajuan yang berdaya tahan yang boleh menjamin generasi akan datang. Beliau juga menyeru agar Jabatan Ukur dan agensi-agensi lain supaya memainkan peranan yang proaktif dalam perlaksanaan GIS di negara ini termasuk mengemaskinikan peta-peta dengan lengkap dan teratur dengan secepat mungkin. Beliau juga menasihatkan agar penggunaan teknologi imej satelit seperti Google Earth turut diambilkira dalam usaha mengemaskinikan data-data peta di jabatan masing-masing. Yang Berhormat Pehin Menteri menerangkan Buku Panduan Sempadan Mukim dan Kampung itu akan menjadi peta asas bagi perancangan yang berdaya tahan bagi penggunaan tanah, pentadbiran yang berkesan bagi Penghulu dan Ketua Kampung dan banci penduduk yang lebih komprehensif. Buku Panduan Sempadan Mukim dan Kampung juga akan dapat menjadi bahan rujukan, penyelidikan dan pengajian di sekolah-sekolah seluruh negara, katanya lagi. Dalam ucapan alu-aluan disampaikan oleh Awg Haji Mohd Jamil bin Haji Mohd Ali, Juruukur Agung, antaralain menyentuh bahawa peta yang bersiri telah bermula sejak tahun 1960an sementara pemetaan digital dimulakan dengan bermulanya teknologi komputer pada tahun 1980an. Beliau menambah disebabkan penggunaan GIS tidak terhad di Jabatan Ukur sahaja, idea untuk mengadakan Hari GIS Sedunia telah timbul yang mana sekaligus menimbulkan hasrat untuk mengadakan ‘Buku Panduan Sempadan Mukim dan Kampung’ memandangkan pemantau sempadan mukim dan kampung dan teknologi GIS berkait rapat.
|
||
|
|
Seterusnya taklimat khas mengenai GIS disampaikan oleh wakil ESRI South Asia dari negara Singapura. Yang Berhormat Pehin Menteri juga berkesudian menyampaikan Buku Panduan Sempadan Mukim dan Kampung kepada ke empat-empat Pegawai Daerah dan seterusnya menyaksikan pameran.
|
|