MENTERI PEMBANGUNAN MENGHADIRI MESYUARAT

DI CEBU, PHILIPPINES

 

 

  

 
 

Menteri Pembangunan Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Awang Haji Bakar berserta beberapa Pegawai Kanan telah bertolak untuk menghadiri Mesyuarat Kesepuluh Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN dan Mesyuarat Menteri Alam Sekitar +3 pada 9 hingga 11 November 2006 di Cebu, Philippines. Manakala Setiausaha Tetap (Teknikal & Professional), Yang Mulia Awang Haji Mohd Said bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim telah bertolak sehari sebelum ini bagi tujuan yang sama.

Mesyuarat akan membincangkan agenda dan isu yang berhubung kait dengan perkembangan perancangan dan perlaksanaan program dan projek kerjasama ASEAN dalam bidang alam sekitar.  Antaralain ianya termasuk ‘Pemeliharaan Alam Semula Jadi dan Kepelbagaian Biologi’, ‘Inisiatif ASEAN Mengenai Perubahan Iklim’, ‘Anugerah Kebangsaan Yang Berkekalan Dari Segi Alam Sekitar’ dan juga ‘Rancangan Tindakan Pendidikan Alam Sekitar ASEAN 2006-2010’.

Manakala Mesyuarat Ketiga Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN +3 pada 11 November 2006 akan membincangkan kerjasama ASEAN dengan Negara Cina, Jepun dan Republik Korea.  Ini termasuklah perkembangan perancangan dan perlaksanaan program dan projek kerjasama alam sekitar dalam bidang pemeliharaan alam semula jadi dan kepelbagaian biologi, pengurusan sumber air, pemeliharaan hutan serta projek dan aktibiti kerjasama yang baru.