MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN e-KERAJAAN  
 

 

 

 
 

Dalam usaha kearah sistem pentadbiran dan Perkhidmatan Awam yang lebih licin serta cemerlang di abad 21 kini semua Kementerian dan Jabatan di Negara ini telah giat menyusun dan merancang program-program dibawah e-Kerajaan.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Kemajuan Perumahan akan mengendalikan projek e-SIKaP iaitu Sistem Informasi Kemajuan Perumahan dibawah rancangan e-Kerajaan. Petang tadi satu majlis menandatangani Kontrak diantara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan syarikat swasta, HAD Tecnologies bagi projek e-SIKaP (Sistem Kemajuan Perumahan) bagi Jabatan Kemajuan Perumahan yang diadakan di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan.

Bagi mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kontrak ditandatangani oleh Yang Mulia Awang Haji Mat Salleh bin Haji Matusin, Pengarah Kemajuan Perumahan dan Yang Mulia Haji Awang bin Haji Md Daud, Ketua Pegawai Eksekutif (Chief Executive Officer) HAD Technologies. Hadir selaku Tetamu Kehormat dan menyaksikan majlis menandatangani berkenaan ialah Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Setiausaha Tetap (Pentadbiran & Kewangan), Kementerian Pembangunan.

Kontrak yang telah ditandatangani bagi projek e-SIKaP untuk Jabatan Kemajuan Perumahan ini bernilai lebih 3 juta ringgit dalam tempoh perlaksanaan satu tahun dan projek berkenaan dijangka akan siap pada suku tahun ketiga 2007.

Projek ini adalah satu usaha menuju kepada mengintegerasikan maklumat secara digital dan membolehkan orang ramai berkomunikasi melalui laman web Jabatan Kemajuan Perumahan. Ianya juga berperanan untuk mengemaskinikan data-data pemohon, proses permohonan hingga kepada proses pembayaran balik pinjaman rumah bagi Skim Perumahan yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan.  Orang Awam juga akan mendapat faedah dari projek ini dimana mereka boleh mengetahui status permohonan, mengemaskinikan data permohonan dan lain-lain perkhidmatan.