Selasa, 26 Syaaban 1446H bersamaan 25 Februari 2025M
Sepertimana lazimnya pada tahun-tahun yang lepas, di antara aktiviti tahunan Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan bagi mengalu-alukan kedatangan bulan Ramadhan yang bakal tiba adalah mengadakan kerja bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam. Aktiviti amal pada tahun ini mengambil tempat di Tanah Perkuburan Islam Anjarubi, Simpang 39 Jalan 82 dan Tanah Perkuburan Islam Majau Jalan 2 Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba, Gadong.

Amalan membersihkan tanah perkuburan mempunyai nilai-nilai mulia seperti mengingati mereka yang telah kembali ke rahmatullah. Di samping memupuk sifat bekerjasama dalam hal ehwal kemasyarakatan bagi perkara berkebajikan, ianya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim yang sedia ada di antara pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Perumahan.


Kempen kebersihan juga turut diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah.