Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengiran Dr. Haji Badaruddin bin Pengiran Abd Rahman, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Brunei-Muara diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd. Karim, Pegawai Daerah Brunei-Muara.

Pada majlis berkenaan, seramai 218 orang telah dikurniakan geran tanah di bawah Skim Penggeranan Tanah Lesen Tumpang Sementara (LTS) dimana dari jumlah berkenaan seramai 183 orang penerima dari Daerah Brunei-Muara dan 35 orang penerima dari Daerah Temburong. Manakala itu, di bawah Skim Perumahan Negara seramai 408 orang telah dianugerahkan anak-anak kunci rumah dan lot tanah, iaitu 270 orang telah diperuntukan unit pangsapuri; 1 orang diperuntukan rumah jenis basic (Karamunting Kodok); 4 orang diperuntukan rumah jenis kembar; 126 orang diperuntukan rumah jenis teres, dan 7 orang penerima lot-lot tanah.Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Brunei-Muara.
Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan berkenaan, KDYMM berkenan dijunjung berangkat melawat salah sebuah institusi pendidikan di kawasan Perumahan Negara Kampung Rimba iaitu Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Rimba. Selepas lawatan dari institusi pendidikan berkenaan, KDYMM dijunjung berangkat melawat ke rumah-rumah para peserta yang menerima anak-anak kunci rumah mereka di bawah Rancangan Perumahan Negara Rimba.
Dari rumah para penerima anak-anak kunci rumah, KDYMM seterusnya dijunjung berangkat ke rumah Pemangku Ketua Kampung Kawasan 5, Rancangan Perumahan Negara Rimba, Yang Mulia Awang Md Salleh bin Haji Ahmad. Dari rumah Ketua Kampung Kawasan 5 Rancangan Perumahan Negara Rimba, KDYMM kemudian berkenan berangkat ke rumah peserta-peserta yang menerima Penggeranan Tanah-Tanah Lesen Tumpang Sementara di bawah Skim Penggeranan LTS di Kampung Lambak Kiri.

Bagi meneruskan sesi keberangkatan, KDYMM dijunjung berangkat melawat ke Syarikat Royal Brunei Culinary (RBC) di kawasan Perindustrian Lambak Kanan. Selesai sesi lawatan di RBC, KDYMM kemudian dijunjung berangkat ke rumah peserta- peserta yang menerima anak-anak kunci rumah pangsapuri di kawasan Perumahan Negara Lambak Kanan.
Pusat Pengajian dan Kesenian Kaligrafi Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rumah Semaun juga menjadi destinasi seterusnya lawatan KDYMM. Di pusat berkenaan KDYMM berkenan dijunjung menyaksikan beberapa aktiviti dan kemudahan-kemudahan yang disediakan. Bagi mengakhiri majlis keberangkatan, KDYMM berkenan dijunjung berangkat ke Dewan An-Naura, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan bagi Majlis Santap Tengahari.
Pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk di negara ini. Pelbagai usaha dan inisiatif telah dan sedang giat dilaksanakan bagi mencapai aspirasi Matlamat Kedua Wawasan Brunei 2035 ini termasuklah penyediaan kemudahan perumahan, perancangan dan kemajuan guna tanah yang teratur. Dalam aspek penyediaan perumahan melalui kedua-dua skim ini; Skim Penggeranan Tanah Lesen Tumpang Sementara (LTS) dan Skim Perumahan Negara (SPN) pelbagai dasar dan inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan rakyat mempunyai tempat kediaman yang selesa, mampu milik dan mampan. Usaha dan inisiatif ini jelas mencerminkan sikap keprihatinan dan pemedulian KDYMM kepada rakyat dan penduduk di negara ini khususnya dalam memastikan kualiti kehidupan rakyat sentiasa terjamin.