MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL BAGI KURSUS SEKAPOR SIREH OUTWARD BOUND  BRUNEI DARUSSALAM

 

Majlis Penyampaian Sijil bagi kursus Sekapor Sireh Outward Bound Brunei Darussalam telah diadakan pada Hari Isnin, 04 Ogos 2008 bertempat di Bilik Keruing, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan.  Tetamu Kehormat dimajlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Setiausaha Tetap (Pentadbiran & Kewangan) Kementerian Pembangunan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Metali bin Haji Samad, pegawai di Unit Latihan, Kementerian Pembangunan. Seterusnya ucapaan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Ishak bin Haji Abu Hanafiah, Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, kementerian Pembangunan.  Dalam ucapan beliau antaralain berharap kepada para peserta yang terpilih seharusnya berasa beruntung kerana jenis kursus yang telah diadakan itu menekankan kepada fizikal yang menerapkan nilai-nilai murni seperti berdisplin, berkerja berpasukan, bertanggungjawab, berkerja keras dan sebagainya.  Beliau menambah nilai-nilai atau ciri-ciri tersebut adalah yang pernah Yang Berhormat Pehin Menteri Pembangunan sentuh sebagai generasi modal insan berwibawa bagi menjadikan sesebuah organisasi itu cemerlang.  Sementara itu penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat kepada peserta-peserta kursus.

Kursus Sekapor Sireh Outward Bound Brunei Darussalam adalah anjuran oleh Kementerian Pembangunan dengan kerjasama Outward Bound Brunei Darussalam, Kebudayaan, Belia dan Sukan yang mengambil masa selama 3 hari.

Antara objektif kursus ini adalah memantapkan tekanan dan fikiran terutama apabila menangani kerenah orang ramai disamping meningkatkan sifat tanggungjawab dan keupayaan dalam kerja berpasukan.  Kursus ini juga dapat mengembangkan minda diri dan sebagai salah satu motivasi diri dalam kepimpinan.

Kursus ini telah berjaya dianjurkan sebanyak 4 kali iaitu sessi pertama dan kedua 14hb hingga 16hb Januari 2008 seramai 44 orang; 21hb hingga 23hb Januari 2008 seramai 45 orang.  Sementara itu sessi ketiga dan keempat diadakan pada 1hb hingga 3hb Julai 2008 seramai 39 orang; 21hb hingga 23hb Julai 2008 seramai 56 orang.

Majlis pada petang itu diakhiri dengan bacaan doa selamat yang disampaikan oleh Awang Metali bin Haji Samad, Pegawai di Unit latihan, kementerian Pembangunan.