MAJLIS IBADAH KORBAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN

DAN JABATAN-JABATAN DI BAWAHNYA

 

 

 
 

 

Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Ibadah Korban pada sebelah petang bertempat di Bilik Bertabur, Kementerian Pembangunan bagi tahun 2006/2007M bersamaan 1427H.

Berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bulqiah.

Majlis Ibadah Korban ini dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan dan telah dipengerusikan oleh Awang Haji Mat Salleh bin Haji Matussin, Pengarah Jabatan Kemajuan Perumahan.  Sebanyak 6 ekor kerbau telah dijadikan binatang korban pada tahun ini. 

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Awang Haji Bakar, Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussien, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Awang Haji Mohd Said bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim, Setiausaha Tetap (Teknikal & Professional), Pengarah Jabatan-Jabatan, Ketua-Ketua Unit,  Pegawai serta Kakitangan di bawah Kementerian Pembangunan. 

Satu ceramah keugamaan telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohd Adi Zaki bin Haji Matasim, Penceramah daripada Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Ugama. 

Majlis seterusnya diselajurkan dengan pengagihan daging korban kepada Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bulqiah dan kepada Pengarah Jabatan-Jabatan, Ketua-Ketua Unit, Pegawai serta Kakitangan di bawah Kementerian Pembangunan yang disampaikan oleh  Yang Berhormat Menteri Pembangunan.  Terdahulu dari itu, pengagihan daging korban kepada Ketua-Ketua Kampong Mukim Berakas ‘B’ juga disampaikan oleh Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan untuk  diagihkan kepada mereka yang layak menerima. 

Majlis tersebut dihadiri lebih dari 200 warga Kementerian Pembangunan dan adalah merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian tersebut.