MAKLUMAN MENGENAI KEJADIAN 

TANAH RUNTUH DAN BANJIR

DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

  

 

 

 
 

Bahagian Kajitanah & Kajibumi, Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya memaklumkan bahawa berikutan dengan kejadian hujan lebat yang berlaku di Negara ini di dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa kejadian tanah runtuh telah berlaku terutama di kawasan berbukit dan juga banjir di kawasan tanah rendah.  Di antara kawasan yang terlibat termasuk STKRJ Kampong Lambak Kiri, RPN Kampong Rimba, Kampus ITB, Kampong Telanai, Kampong Sungai Akar, Kampong Sungai Hancing dan lain-lain. 

Dikawasan yang terlibat didapati tanah lumpur akibat dari kejadian tanah runtuh tersebut dapat dilihat menutupi jalan dan longkang.  Tanah lumpur tersebut juga mengalir di sekitar kawasan perumahan yang berdekatan dengan lereng bukit. 

Secara keseluruhan kejadian tanah runtuh tersebut disebabkan oleh hakisan permukaan tanah berikutan dengan kejadian hujan lebat. 

Diantara langkah-langkan awal yang telah diambil oleh Jabatan Kerja Raya dengan pertolongan beberapa agensi lain ialah membersihkan tanah lumpur yang menutupi jalan, longkang dan memotong kayu-kayu pokok yang membahayakan. 

Pihak Jabatan Kerja Raya juga sedang memantau keadaan tersebut secara berterusan dan membuat kerja-kerja penyelidikan untuk mengenalpasti kawasan yang terlibat demi perancangan pembaikan dimasa akan datang.

Adalah dinasihatkan kepada orang ramai supaya:- 

  • Memandu secara berhati-hati di kawasan jalan yang licin atau berlumpur, kawasan berbukit dan kawasan yang mengalami banjir,
  • Menghubungi Jabatan Kerja Raya jika berlaku sebarang kejadian tanah runtuh atau banjir,
  • Memastikan supaya membuat pembersihan longkang secara berterusan bagi longkang di sekeliling rumah dan persekitarannya bagi membolehkan air mengalir dengan lancar,
  • Memastikan agar segala peraturan memajukan kawasan akan dipatuhi seperti memastikan rumah tidak di bina diatas cerun yang sangat curam, memastikan cerun ditanami dengan tumbuhan bagi mengelakkan hakisan, memastikan sistem aliran air yang sempurna dan lain-lain,
  • Mengosongkan rumah jika didapati struktur rumah di dalam keadaan bahaya.

Sementara itu sebarang pertanyaan atau nasihat bolehlah menghubungi Awang Norazmi bin Othman, Bahagian Kajitanah & Kajibumi, Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya, Telepon No: 8605243.