Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
MAJLIS PEMBUKAAN JAMBATAN PEJALAN KAKI MENGHUBUNGKAN DERMAGA DIRAJA DAN JALAN RESIDENCY Bandar Seri Begawan, 23 Syawal 1439 bersamaan 07 Julai 2018

Yang Mulia Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap (Teknikal & Professional), Kementerian Pembangunan selaku Tetamu Kehormat majlis hari ini, telah menyempurnakan pembukaan jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Dermaga Diraja dan Jalan Residency. 


Turut hadir di majlis pembukaan tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Amer Hishamuddin bin POKAPDSS Haji Zakaria, Ketua Pengarah Kerja Raya, Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengerusi Bandaran Bandar Seri Begawan, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, Penghulu Mukim Kota Batu dan pegawaipegawai kanan Kerajaan. 


Pembinaan jambatan pejalan kaki berkenaan merupakan salah satu skop kerja di bawah projek Pembesaran Jalan Residency yang telah pun siap dan mula beroperasi pada 14 Mei 2018. 


Jambatan pejalan kaki yang baru tersebut berukuran 8 meter luas menyeberangi Sungai Kianggeh sepanjang 80 meter. Pembinaan adalah bertujuan untuk menghubungkan Dermaga Diraja dengan Jalan Residency dan seterusnya melengkapkan rangkaian laluan penjalan kaki sepanjang kira-kira 3 kilometer bermula dari Taman Mahkota Jubli Emas hingga ke Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS). 


Dengan terbinanya jambatan pejalan kaki ini maka ianya akan dapat memperluaskan lagi ruang untuk orang ramai beriadah di persisiran tebing Sungai Brunei, menikmati suasana persekitaran Bandar Seri Begawan dan Kampong Air serta menambah daya tarikan kepada para pengunjung dan pelancong. Disamping itu, dengan siapnya rangkaian laluan pejalan kaki tersebut, diharap akan dapat menjana pertumbuhan aktibiti sosio ekonomi dan menambah keindahan persekitaran Bandar Seri Begawan. 


Sehubungan dengan itu, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan ingin mengingatkan kepada orang ramai dan seterusnya memohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama menjaga kebersihan jambatan pejalan kaki tersebut dan persekitarannya demi kesejahteraan dan keselesaan semua pihak. 


Sejurus selepas pembukaan jambatan pejalan kaki tersebut, Tetamu Kehormat majlis dan para jemputan turut sama-sama meninjau lebih dekat persekitaran jambatan pejalan kaki berkenaan. 


Disediakan oleh 

Unit Perhubungan Awam Jabatan Kerja Raya 

Kementerian Pembangunan


Attachments