Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
MAJLIS PENYERAHAN KUNCI DAN PERASMIAN BANGUNAN PUSAT PENGASINGAN KEBANGSAAN BARU, TUTONG KEMENTERIAN KESIHATAN

Jumaat, 30 Syaaban 1441 bersamaan 24 April 2020 – Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Penyerahan Kunci dan Perasmian Bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan Baru, Tutong pada pagi ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat dan seterusnya acara penyerahan kunci bangunan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Menteri Pembangunan kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan. 

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan; Pegawai-Pegawai dari Kementerian Kesihatan; dan PegawaiPegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan.

Selepas penyerahan kunci bangunan dilaksanakan, Majlis diteruskan dengan peninjauan dengan lebih dekat fasiliti-fasiliti dan fungsi pusat tersebut oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Menteri Pembangunan; diikuti dengan penanaman pokok-pokok di luar Blok F Pusat Pengasingan Kebangsaan tersebut oleh kedua-dua Yang Berhormat Menteri. Para doktor dan Pasukan Projek JKR juga turut berkesempatan dalam acara penanaman pokok-pokok di pusat tersebut.

Bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan baru ini telah mula dibina pada 27 Mac 2020 dan siap dibina pada 23 Apil 2020. Tujuan utama pembinaan bangunan baru ini adalah sebagai respons pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya keperluan Kementerian Kesihatan dalam menampung rawatan dan pemantauan pesakit-pesakit yang dijangkiti COVID-19 di Negara ini.

Kementerian Pembangunan telah melantik Syarikat LSL Sendirian Berhad untuk membina bangunan ini di atas tapak berukuran lebih 6000 meter persegi, berdekatan dengan Pusat Pengasingan Kebangsaan yang ada sekarang, yang mana kos pembinaan secara keseluruhan adalah sebanyak $11,317,514.00. Bangunan baru ini mengandungi 7 blok-blok utama, yang mana 5 blok (blok A – E) adalah bagi rawatan pesakit-pesakit yang memenuhi ciri-ciri keperluan yang lazimnya untuk setting klinikal; dan 2 blok (blok F – G) adalah bagi pentadbiran dan kejuruteraan. 

Bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan baru ini  dilengkapi dengan peralatan-peralatan perubatan baru dan mempunyai beberapa fasiliti dan kemudahan termasuklah: 160 katil di dalam wad-wad pengasingan, dan 6 katil-katil bagi rawatan intensif (ICU beds); Farmasi; Bilik-bilik rawatan; Bilik bengkel peralatan; Bilik mesyuarat; Bilik Genset; Bilik kaunseling; Bilik persiapan makanan; tandas dan bilik mandi; Bilik Gowning dan Degowning; Bilik ANTE; Bilik sluice Bilik sisa biohazard dan household; Bilik stor bagi pembersihan peralatan; kawasan menunggu; dan surau. Di samping itu, ciri-ciri keselamatan juga dipertingkatkan di bangunan baru ini demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan pegawai dan kakitangan yang bertugas di bangunan berkenaan.


IMG_2215.JPG IMG_2264.JPG


Attachments