Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

MAJLIS PEMBUKAAN DUA BUAH JEJAMBAT DI PERSIMPANGAN JALAN UTAMA MENTIRI DAN PERSIMPANGAN JALAN MUARA SERTA JALAN PENGHUBUNG TANAH JAMBU
Sabtu, 08 Safar 1447H | 02hb Ogos 2025M
Bandar Seri Begawan

Satu lagi projek pembinaan dua buah jejambat di persimpangan Jalan Utama Mentiri dan di persimpangan Jalan Muara serta pembinaan Jalan Penghubung Tanah Jambu dan jalan susur daripada Perumahan Negara Kampung Panchor, Mengkubau ke Jalan Utama Mentiri yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya telah pun siap dilaksanakan dan mula dibuka kepada pengguna jalan raya hari ini.

Pembukaan jejambat dan jalan penghubung Tanah Jambu tersebut telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis iaitu Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.

Dua buah jejambat baru telah dibina, iaitu sepanjang 30 m menyeberangi Jalan Muara dan 60 m menyeberangi Jalan Utama Mentiri. Jalan baru empat (4) lorong (dual carriageways) telah dibina sepanjang kira-kira 1.8 km yang menghubungi Jalan Utama Mentiri dan Jalan Muara. Sementara itu, sepanjang kira-kira 1.4 km jalan susur keluar telah dibina yang menghubungi Jalan Utama Mentiri dari Perumahan Negara Kampung Panchor, Mengkubau Mukim Mentiri. Projek ini merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11 yang mula dibina pada awal tahun 2019 dan siap sepenuhnya pada 07 Julai 2025, melalui penglibatan pemborong Pro Builder Sdn Bhd dengan menelan belanja lebih kurang BND 26 juta.

Projek pembinaan jejambat ini dilaksanakan bertujuan untuk menampung pertumbuhan jumlah lalulintas di samping meningkatkan tahap keselamatan para pengguna jalan raya serta memperkemaskan lagi sistem rangkaian jalan raya dengan lebih teratur.

Dengan terbinanya jejambat dan jalan ini, ianya memberikan jalan alternatif kepada para pengguna jalan raya dan sedikit sebanyak akan mengurangkan masalah kesesakan di sebahagian kawasan di Jalan Utama Mentiri (terutama di waktu pagi) di mana sebahagian jumlah lalulintas yang datangnya dari arah Mentiri dijangka menggunakan jejambat dan jalan baru ini untuk menuju ke Jalan Muara, Lebuhraya Muara Tutong dan sekitarnya.

Disamping itu, jejambat-jejambat yang baharu ini dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi di kawasan sekitar. Infrastruktur ini bukan sahaja akan mempercepatkan dan memudahkan urusan pengangkutan logistik yang berkait rapat dengan ekonomi setempat, malah turut membuka lebih banyak akses ke tapak-tapak pembangunan ekonomi seperti kawasan perindustrian, komersial dan perusahan mikro, kecil dan sederhana.

Dengan pembukaan jejambat ini, pihak Jabatan Kerja Raya sukacita mengingatkan kepada orang ramai terutama sekali para pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati-hati serta mengikut papan tanda yang telah disediakan dan mengikut had laju yang telah ditetapkan demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya yang lain.

Turut hadir di majlis pembukaan tersebut ialah Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub, Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar, Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan di Kementerian berkenaan serta wakil daripada Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya.

IMG_5604.JPG  IMG_5592.JPG IMG_DJI.JPG​ 


Disediakan oleh:
Unit Perhubungan Awam
Jabatan Kerja Raya
Kementerian Pembangunan
Negara Brunei Darussalam.



Attachments