Yang Mulia Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap (Teknikal & Professional), Kementerian
Pembangunan selaku Tetamu Kehormat majlis hari ini, telah menyempurnakan pembukaan jambatan pejalan
kaki yang menghubungkan Dermaga Diraja dan Jalan Residency.
Turut hadir di majlis pembukaan tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Amer Hishamuddin bin POKAPDSS
Haji Zakaria, Ketua Pengarah Kerja Raya, Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengerusi Bandaran Bandar
Seri Begawan, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, Penghulu Mukim Kota Batu dan pegawaipegawai
kanan Kerajaan.
Pembinaan jambatan pejalan kaki berkenaan merupakan salah satu skop kerja di bawah projek Pembesaran
Jalan Residency yang telah pun siap dan mula beroperasi pada 14 Mei 2018.
Jambatan pejalan kaki yang baru tersebut berukuran 8 meter luas menyeberangi Sungai Kianggeh sepanjang
80 meter. Pembinaan adalah bertujuan untuk menghubungkan Dermaga Diraja dengan Jalan Residency dan
seterusnya melengkapkan rangkaian laluan penjalan kaki sepanjang kira-kira 3 kilometer bermula dari Taman
Mahkota Jubli Emas hingga ke Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS).
Dengan terbinanya jambatan pejalan kaki ini maka ianya akan dapat memperluaskan lagi ruang untuk orang
ramai beriadah di persisiran tebing Sungai Brunei, menikmati suasana persekitaran Bandar Seri Begawan
dan Kampong Air serta menambah daya tarikan kepada para pengunjung dan pelancong. Disamping itu,
dengan siapnya rangkaian laluan pejalan kaki tersebut, diharap akan dapat menjana pertumbuhan aktibiti
sosio ekonomi dan menambah keindahan persekitaran Bandar Seri Begawan.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan ingin mengingatkan kepada orang
ramai dan seterusnya memohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama menjaga kebersihan jambatan
pejalan kaki tersebut dan persekitarannya demi kesejahteraan dan keselesaan semua pihak.
Sejurus selepas pembukaan jambatan pejalan kaki tersebut, Tetamu Kehormat majlis dan para jemputan turut
sama-sama meninjau lebih dekat persekitaran jambatan pejalan kaki berkenaan.
Disediakan oleh
Unit Perhubungan Awam
Jabatan Kerja Raya
Kementerian Pembangunan