Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

SIARAN AKHBAR LAWATAN KERJA MENTERI PEMBANGUNAN KE TAPAK PROJEK-PROJEK RANCANGAN KEMAJUAN NEGARA DI DAERAH BELAIT

Bandar Seri Begawan, Isnin, 12 Oktober 2020

Yang Berhormat, Dato Seri Setia Ir. Awang Hj Suhaimi bin Hj Gafar, Menteri Pembangunan, hari ini telah membuat lawatan kerja ke beberapa buah tapak projek yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan di Daerah Belait.

 

Dalam usaha pihak Kementerian Pembangunan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, pihak Kementerian telah merancang dan melaksanakan beberapa buah projek dalam Rancangan Kemajuan Negara ke-11. Dalam lawatan kali ini sebanyak lima (5) buah lagi tapak projek dibawah RKN Ke-11 dilawat iaitu:

 

  1. Projek Menaiktaraf Sungai Utama dan Anak-Anak Sungai – Upgrading of Integrated Services Infrastructure Works at Kuala Belait – Seria Municipal Areas;

  2. Projek Menaiktaraf Sistem Pembetungan Di Kawasan Perbandaran Kuala Belait dan Seria;

  3. Projek Mengganti Baru Penungkat Paip (Pipe Support) Air Mentah Utama Dari Stesen Pam Air Badas ke Loji Rawatan Air Seria;

  4. Projek Mengganti / Memindah Paip-Paip Utama Yang Lama Bagi Semua Daerah – Paip-Paip Utama Dari Loji Rawatan Air Seria ke Tangki Perindustrian Sungai Bera dan Pam Air Mentah Badas; dan

  5. Projek Menaiktaraf Sungai Utama dan Anak-Anak Sungai – Kg Lumut Catchment.

 

Projek "Menaiktaraf Sungai Utama dan Anak-Anak Sungai – Upgrading of Integrated Services Infrastructure Works at Kuala Belait" adalah salah satu projek Rancangan Kemajuan Negara ke-11. Projek ini, yang mengambil masa selama 24 bulan untuk dilaksanakan adalah masih dalam peringkat menunggu kebenaran tawaran. Antara objektif projek ini adalah untuk menaiktaraf sistem saliran di kawasan perbandaran Kuala Belait dan Seria, mengurangkan kadar kebanjiran di kawasan tersebut dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di kawasan berkenaan.

 

Projek "Menaiktaraf Sistem Pembetungan Di Kawasan Perbandaran Kuala Belait dan Seria" yang menelan belanja sebanyak $4.2 juta, telah mula dilaksanakan pada 03 Mac 2020 dan dijangka siap pada 02 September 2022 (30 bulan). Projek ini, yang telah berjalan sebanyak 25%, dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Belait dan Tutong, Kementerian Pembangunan, manakala, Astal Engineering Sdn Bhd adalah merupakan kontraktor bagi projek ini. Objektif projek ini adalah untuk memastikan aliran air kumbahan berjalan lancar dan tidak mengalami masalah tersumbat yang boleh menjadi rungutan orang awam. Selain itu projek ini juga berperanan untuk mengurangkan kos pemeliharaan dan penyelenggaraan paip pembetung.

 

Projek "Mengganti Baru Penungkat Paip (Pipe Support) Air Mentah Utama Dari Stesen Pam Air Badas ke Loji Rawatan Air Seria", yang menelan belanja sekitar $1.2 juta, telah mula dilaksanakan pada 20 Januari 2020 dan dijangka siap pada 19 Januari 2022 (24 bulan). Projek ini, yang juga dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Belait dan Tutong, dan Impian Reka Bina Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi projek ini, berobjektif bagi memastikan bekalan air mentah tidak terjejas yang berpunca daripada kebocoran paip yang berlaku disebabkan oleh penungkat paip (pipe support) yang sudah lama.

 

Projek "Mengganti / Memindah Paip-Paip Utama Yang Lama Bagi Semua Daerah – Paip-Paip Utama Dari Loji Rawatan Air Seria ke Tangki Perindustrian Sungai Bera dan Pam Air Mentah Badas" berperanan untuk membekalkan bekalan air yang berterusan kepada orang awam tanpa adanya gangguan seperti kebocoran paip air dan tekanan air rendah. Dengan adanya projek ini yang bernilai $916,840.00, ianya akan dapat meningkatkan penghasilan kualiti proses air bersih dari Loji Rawatan Air di Seria. Projek ini telah mula dilaksanakan pada 29 Jun 2020 dan dijangka siap pada 28 Jun 2022 (24 bulan). Selain itu, paip-paip yang sedia ada akan diganti dengan paip jenis steel pipe dan MDPE. Antara kelebihannya pipe-pipe yang baru itu nanti boleh tahan lama dan mempunyai kekuatan yang tinggi (tidak mudah retak dan bocor).

 

Manakala objektif Projek "Menaiktaraf Sungai Utama dan Anak-Anak Sungai – Kg Lumut Catchment" adalah bagi menaiktaraf sistem saliran di kawasan Kampung Lumut dan mengurangkan kadar kebanjiran di kawasan berkenaan. Antara lain ianya juga untuk menghalang pembiakan nyamuk dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di kawasan tersebut. In Shaa Allah projek ini akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat dan dijangka mengambil masa selama 24 bulan.

 

Adapun objektif lawatan kerja ini adalah untuk memantau dan meneliti dengan lebih terperinci perkembangan projek-projek berkenaan dalam memastikan ianya berjalan dengan lancar serta menepati kualiti dan tarikh siap yang telah ditetapkan.

 

Turut hadir di lawatan kerja tersebut ialah: Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput, Ketua Kampung Labi 1 Zon 2 – Daerah Belait; Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke Bin Haji Mohsin, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan; Yang Mulia Sr. Dayang Hajah Norhayati Binti Haji Mohd Yaakub, Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan; Yang Mulia Ir. Haji Mohd Salleh bin Haji Karim, Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan Kerajaan daripada Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.

 IMG_0337.JPG IMG_0370.JPG

Disediakan oleh:

Unit Perhubungan Awam

Jabatan Kerja Raya

Kementerian Pembangunan

Negara Brunei Darussalam


Attachments