Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

MAJLIS PERASMIAN MINGGU KESELAMATAN DAN KESIHATAN 2023 (MKK 2023), JABATAN KERJA RAYA, KEMENTERIAN PEMBANGUNAN

​Bandar Seri Begawan, Isnin, 12hb Jun 2023M Jabatan Kerja Raya melalui Jabatan Pentadbiran dan Kewangan telah mengadakan Majlis Perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2023 (MKK 2023), Jabatan Kerja Raya pada pagi ini di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya. 

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan. 

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Kerja Raya, Awang Aminuddin Bin Haji Buntar, selaku Pengerusi Majlis tersebut. 

Seterusnya majlis dirasmikan oleh Tetamu Kehormat Majlis dan diikuti dengan ucaptama dari Tetamu Kehormat berkenaan. Dalam ucaptama tersebut, Yang Mulia Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin menggariskan betapa pentingnya setiap organisasi dalam mengukuhkan lagi sistem Occupational Safety and Health di tempat kerja dengan mengambilkira keperluan setiap pekerja disamping menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat sebagai prinsip dan hak asasi di tempat kerja sesuai dengan tema Hari Keselamatan dan Kesihatan Sedunia 2023 iaitu “A Safe and Healthy Working Environment: A Fundamental Right”. 

Majlis perasmian tersebut diserikan lagi dengan pengisian taklimat daripada penceramahpenceramah undangan yang diteruskan sehingga ke sebelah petang. Seramai 120 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian dan pihak syarikat serta kontraktor hadir bagi sesi-sesi taklimat tersebut yang akan diadakan selama dua hari bermula pagi ini. 

Pada masa yang sama, pameran berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan di tapak pembinaan diadakan di ruang lobi, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya mulai jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan disambung pada sebelah petang, mulai jam 2.00 petang hingga 4.00 petang selama dua (02) hari. Antara syarikat-syarikat yang ikut serta dalam pameran tersebut terdiri daripada syarikat-syarikat pembekal alat keselamatan, syarikat penyediaan latihan keselamatan serta syarikat insurans. Pameran tersebut dibukakan untuk kunjungan orang ramai khususnya pihak kontraktor dan pelajar-pelajar yang berminat bagi tujuan menambah ilmu dan pengetahuan mengenai kepentingan keselamatan di tempat kerja dan tapak pembinaan. 

Turut hadir di majlis perasmian berkenaan ialah Yang Mulia Sr. Dayang Hajah Norhayati Binti Haji Mohd Yakub, Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan; Yang Mulia Dayang Aldila Binti Haji Mohamad Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan; Ketua-Ketua Jabatan, pegawaipegawai kanan, para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya serta penaja-penaja yang turut menjayakan majlis di pagi berkenaan. 

Disediakan oleh 

Unit Perhubungan Awam 

dan Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar, Jabatan Pentadbiran dan Kewangan 

Jabatan Kerja Raya Kementerian Pembangunan 

pro@pwd.gov.bn

Attachments