Bandar Seri Begawan, Mac 2023 - Hari Juruukur Sedunia diadakan pada setiap 21 Mac untuk memperingati kepentingan profesyen serta bidang tugas Juruukur. Pada tahun ini, Jabatan Ukur dan Institusi Brunei Geomatik (B.I.G) telah mengadakan Kempen Derma Darah dan Majlis Doa Kesyukuran bagi menyambut Hari Juruukur Sedunia 2023.

Kempen Derma Darah telah diadakan pada 1 Mac 2023 di Dewan Atria Simpur, Jabatan Kerja Raya. Seramai lebih daripada 90 pendaftaran terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan serta para ahli B.I.G dan orang ramai bagi menjayakan kempen derma darah tersebut. Sejumlah 81 pain darah telah berjaya didermakan.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberi sokongan dalam menyumbang kepada Pusat Pendermaan Darah RIPAS, kempen ini juga bertujuan untuk menggalakkan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang faedah dan kepentingan menderma darah.

Manakala Majlis Doa Kesyukuran Sempena Hari Juruukur Sedunia 2023 telah diadakan pada 21 Mac 2023 di Masjid Ash-Shaliheen, Jabatan Perdana Menteri.
Turut hadir ke Majlis berkenaan ialah Yang Mulia, Ir.
Awang Haji Amer Hishamuddin Bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia
Awang Haji Zakaria, Setiausaha Tetap (Infrastruktur,
Perumahan Dan Profesional); Yang Mulia Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang); Ketua-ketua
Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian Pembangunan; para pegawai dan kakitangan Jabatan Ukur dan ahli-ahli B.I.G.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diserikan dengan ceramah bertajuk 'Menerapkan Nilai-Nilai Islam di dalam Pekerjaan' yang disampaikan oleh Pegawai Ugama Pusat Da'wah Islamiah, Ustaz Mohammad Nasyith bin Superi.
Majlis diteruskan dengan Doa Kesyukuran sempena memperingati Hari Juruukur Sedunia dan diakhiri dengan solat Asar berjemaah.
Sumber:
Siaran Akhbar Jabatan Ukur [90]dlm.SS/1223/1
Siaran Akhbar Jabatan Ukur [92]dlm.SS/1223/1
Facebook Jabatan Ukur