MAJLIS Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-24 Tahun 2017
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 November. –
Kumpulan 3GS dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan diumumkan
sebagai pemenang tempat pertama bagi Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang
(KKC) Peringkat Kebangsaan Ke-20 bagi projek bertajuk 'Kesukaran Dalam
Pengendalian Maklumat Peralatan Komputer', sekali gus menerima hadiah
wang tunai sebanyak BND6,000, piala iringan dan sijil penghargaan.
Keputusan ini telah diumumkan pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-24, 2017.
Tempat
kedua dimenangi oleh Kumpulan LIFESAVER995 dari Jabatan Bomba dan
Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang menerima wang tunai
BND4,000, piala iringan dan sijil penghargaan menerusi tajuk projek
mereka 'Meningkatkan Kebakaran Gambut Pada Musim Cuaca Panas Di Kawasan
Mukim Seria'.
Kumpulan MU@KAD yang
juga dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan mendapat tempat ketiga
dengan projek bertajuk 'Peta Rectified Skew Orthomorphic (RSO) Tidak
Memenuhi Kehendak Pelanggan' dan menerima hadiah wang tunai sebanyak
BND2,000, piala iringan dan sijil penghargaan.
Sementara
itu, penerima-penerima sagu hati juga menerima wang tunai sebanyak BND
1,000 berserta sijil penyertaan. Kumpulan PGS1617 dari Jabatan Ukur,
Kementerian Pembangunan dengan projek bertajuk 'Peta Banjir Yang Kurang
Komprehensif' juga adalah antara kumpulan yang bertanding pada
Konvensyen KKC kali ini yang menerima hadiah sagu hati berkenaan.
Pada
majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan
Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan
hadiah-hadiah kepada para pemenang KKC.
Terdahulu,
Kebawah DYMM telah berkenan mengurniakan hadiah-hadiah kepada
penerima-penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA)
bagi tahun 2017.
Penerima-penerima
APCPA di bawah Kementerian Pembangunan ialah Dayang Hajah Suma binti
Haji Basman, Penyelia Pejabat dari Jabatan Kerja Raya, Dayang Norjijah
binti Haji Ismail, Kerani dari Jabatan Ukur dan Awang Zaini bin
Ajak/Lajak, Atendan Jentera Tingkat II dari Jabatan Kerja Raya.
APCPA
ini merupakan penghargaan dan pengiktirafan kepada warga Perkhidmatan
Awam yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang. Kualiti dan
penghasilan kerja pegawai atau kakitangan berkenaan seringkali melebihi
daripada keperluan tugas dan tanggungjawab jawatan serta mempunyai
keperibadian yang boleh dicontohi oleh pegawai-pegawai dan kakitangan
yang lain.
Sumber: Kementerian Pembangunan | Grafik/Foto: Kementerian Pembangunan