Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

JABATAN UKUR TERIMA LAWATAN KERJA DARI UNIVERSITI POLITEKNIK HONG KONG

hk1.JPG

Sesi bergambar ramai bersama wakil Universiti Politeknik Hong Kong, Pemangku Juruukur Agung dan para pegawai kanan Jabatan Ukur.

9 Januari 2017, Isnin, Bandar Seri Begawan – Seramai tiga perwakilan profesional  dari Universiti Politeknik Hong Kong telah membuat lawatan kerja ke Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan. Rombongan tersebut diketuai oleh Ketua Jabatan Land Surveying and Geo-Informatics, Professor Dr. Shi Wen Zhong, John.

Pemangku Juruukur Agung, Jabatan Ukur, Awang Haji Ali Bakar bin Haji Kasim mengalu-alukan kehadiran wakil profesional tersebut dan menghargai usaha mereka untuk melawat ke Jabatan Ukur.

Universiti Politeknik Hong Kong adalah sebuah universiti yang telah lama ditubuhkan sejak tahun 1937. Universiti ini menawarkan program-program dari peringkat Diploma Tertinggi dan Sarjana Muda hingga ke peringkat pascasiswazah (Sarjana dan Doktor Falsafah). Program-program ini merangkumi pelbagai jurusan seperti Pengukuran Tanah dan Geo-Informatik, Perkomputeran, Logistik dan Kajian Maritim dan lain-lain.

hk3.JPG

Sesi perbincangan bersama wakil Universiti Politeknik Hong Kong dan Pemangku Juruukur Agung

Tujuan utama lawatan kerja ini adalah untuk memperkenalkan program kursus yang ditawarkan iaitu kursus Diploma Tertinggi, Sarjana Muda dan Sarjana jurusan Pengukuran Tanah dan Geo-Informatik kepada Jabatan Ukur sekaligus dapat menarik minat para pegawai dan kakitangan jabatan untuk mengambil kursus berkenaan. Perjumpaan ini juga diharapkan dapat membina hubungan kerjasama di antara Universiti Politeknik Hong Kong dan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.

hk2.JPG

Pemangku Juruukur Agung, Awang Haji Ali Bakar bin Haji Kasim, menyampaikan cenderahati kenangan kepada Ketua Jabatan Land Surveying and Geo-Informatics, Prof. Dr. Shi Wen Zhong, John.

Professor Dr. Shi Wen Zhong, John selaku Ketua Jabatan Land Surveying and Geo-Informatics, menyatakan Jabatan tersebut menawarkan program yang berkaitan dengan geomatik yang memfokuskan kepada Pengukuran Tanah, Geo-Informatik dan Pengurusan Utiliti dan Pengukuran. Selain itu juga, ianya diiktirafkan oleh badan institusi profesional tempatan seperti Hong Kong Institutes of Surveyors (HKIS), Hong Kong Institutions of Engineers (HKIE) dan Hong Kong Institution of Engineering Surveyors (HKIES), dan serantau seperti Royal Institutions of Chartered Surveyors (RICS). Beliau juga menambah bahawa universiti berkenaan juga menawarkan biasiswa penuh bagi pelajar terbaik, tempatan atau antarabangsa, tertakluk kepada terma dan syarat.

Hadir di perjumpaan tersebut ialah Pemangku Timbalan Juruukur Agung dan para pegawai kanan di Jabatan Ukur.


Sumber Foto: Facebook Jabatan Ukur

Attachments