Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

JERAYAWARA PELAN PEMBANGUNAN DAN KAWALAN DAERAH TUTONG

Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah mengadakan Sesi dialog bersama Pegawai - Pegawai dan kakitangan kerajaan, Penghulu serta Ketua-Ketua Kampung yang juga diselajurkan dengan Jerayawara Pelan Pembangunan dan Kawalan Kemajuan Daerah Tutong di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong pada Hari Selasa, 6 Ogos 2019. Pengerusi sesi tersebut ialah Yang Mulia Awang Shahrom bin Haji Awang Suhaimi, Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa.

Tujuan sesi dialog ialah untuk mengetahui perspektif sebahagian penduduk-penduduk tentang perancangan pembangunan manakala Jerayawara diadakan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pentingnya peranan perancangan bandar dalam mengwujudkan pembangunan yang mampan bagi kesejahteraan masyarakat.

Pembangunan Mampan ialah pembangunan yang dapat memenuhi keperluan generasi pada masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan memenuhi keperluan generasi masa hadapan. Bagi mendapat pembangunan yang mampan, perlunya ada keseimbangan dalam pembangunan dan penjagaan alam sekitar. Oleh itu, pembangunan bandar yang mampan harus dijalankan dengan mengambil kira keupayaan menampung keperluan bagi pelbagai sumber guna tanah tanpa memberikan impak negatif kepada aliran trafik, kepada isu kesihatan, keselamatan, dan alam sekitar yang dicetuskan ke atas Bandar dan kawasan sekeliling.

Bagi Daerah Tutong, Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah menyediakan Pelan Daerah Tutong yang boleh membantu menyelaras pelbagai guna tanah di satu-satu kawasan secara komprehensif atau syummul, seperti kawasan perniagaan dan perumahan, kawasan hijau serta riadah bagi menghasilkan persekitaran yang kondusif dan bersepadu. Pelan daerah itu sendiri adalah dapatan dari kajian-kajian, penelitian, perbincangan serta perundingan bersama pemegang teras (stakeholders) sehingga dapat menghasilkan pelan daerah yang komprehensif.

Sungguhpun keperluan bagi pembangunan yang mampan diperakui, namun pelaksanaannya bukanlah perkara yang mudah.

Kemampanan bagi sesebuah kawasan bukan saja bergantung kepada perancangan, pengurusan dan pengawalan guna tanah yang effisien, akan tetapi juga kepada sokongan yang positif dari pelbagai lapisan masyarakat. Oleh itu, penggunaan tanah dan pengurusan pembangunan memerlukan komitmen dari pelbagai peringkat dan pihak untuk mewujudkan dasar yang mantap supaya perancangan-perancangan tersebut dapat diterima pakai oleh semua pihak.

Penglibatan awam melalui taklimat dan dialog adalah penting untuk memperkesan pelbagai dasar kerajaan yang relevan supaya dapat diterima pakai oleh masyarakat. Sokongan masyarakat terhadap pelbagai perancangan guna tanah adalah penting untuk perubahan bagi menjadikan pembangunan mampan realiti.

Acara utama pada hari tersebut adalah sesi Taklimat Pelan Perancangan Daerah Tutong diikuti dengan sesi Dialog bersama sebahagian penduduk Daerah Tutong, makluman mengenai penggunaan sistem status permohonan Kebenaran Perancangan atas talian (eSOS) dan pameran Perancangan Bandar dan Desa.

Jabatan Perancang Bandar dan Desa juga menyediakan ruang untuk pengunjung memberikan ulasan atau cadangan ke atas perkara-perkara yang dipamerkan. Hasil maklum balas yang diberikan akan diteliti bagi memperbaiki mutu perkhidmatan pihak jabatan kepada orang ramai.

Selain daripada taklimat dan pameran, Jabatan Perancang Bandar dan Desa juga mengadakan aktiviti interaksi bersama penuntut Sekolah Pusat Tingkatan Enam dan penuntut sekolah Menengah di daerah tersebut.

Turut hadir semasa jerayawara tersebut ialah Yang Mulia, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, Pegawai Daerah Tutong. Para jemputan yang hadir terdiri daripada Yang Berhormat Awang Haji Abd Wahab bin Apong dan Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit, ahli Majlis Mesyuarat Negara; Awang Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim, Pengerusi Lembaga Bandaran Tutong; Pegawai - Pegawai dan kakitangan kerajaan; Penghulu serta Ketua-Ketua Kampung dari Daerah Tutong.



Attachments