Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM JERAYAWARA PENGUATKUASAAN PERATURAN-PERATURAN PERANCANGAN BANDAR DAN DESA (KOMPOSISI KESALAHAN), 2018 - KESALAHAN KOMPAUN


 

Bandar Seri Begawan, Isnin, 29 Syaaban 1442H bersamaan dengan 12 April 2021.

Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa sukacita memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan peraturan baru iaitu Peraturan-Peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 di bawah Perintah Perancangan Bandar dan Desa, 2015. Pelaksanaan peraturan berkenaan akan mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2021, di mana peraturan berkenaan memberi kuasa bagi pihak Autoriti Perancang melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa untuk menggenakan kompaun ke atas kesalahan-kesalahan yang tersenarai di bawah Peraturan-Peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018. Jumlah Kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi ketidakpatuhan peraturan tersebut adalah tidak melebihi BND$500.00.

Antara kesalahan – kesalahan yang boleh dikenakan kompaun adalah meliputi kesalahan menggunakan / menghalang / meletak barang-barang jualan / membangun sebarang struktur di kawasan yang terlarang di dalam premis perniagaan dan perusahaan khususnya kawasan kaki lima, pejalan kaki, tempat letak kereta, Kawasan hijau dan kawasan garisan bangunan yang mana ianya boleh menjejaskan keselamatan orang awam atau harta benda di sekeliling. Senarai kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan kompaun atau sebarang maklumat lanjut mengenainya bolehlah diperolehi dengan melayari laman sesawang www.mod.gov.bn/tcp atau melalui instagram @tcp.brunei.


Sebanyak 432 kesalahan yang melanggar Perintah Perancangan Bandar dan Desa 2015 telah berjaya di rekodkan bagi Daerah Brunei – Muara , di mana antara lain jenis kesalahan berkenaan adalah meliputi kegiatan seperti kegiatan perusahaan ringan tanpa kebenaran sebanyak 97 kesalahan, kegiatan perusahaan sederhana sebanyak 94 kesalahan, kegiatan perusahaan berat sebanyak 16 kesalahan, tambahan –tambahan bangunan tanpa Kebenaran bagi tujuan perniagaan sebanyak 88 kesalahan, Perubahan Penggunaan bangunan dari Kebenaran Asal tanpa Kebenaran sebanyak 55 Kesalahan dan kesalahan – kesalahan lain yang boleh dikompaun di kawasan sebanyak 82 kesalahan. Hasil dari kerja kerja profiling yang dilaksanakan sejak tahun 2020 yang menumpukan Daerah Brunei dan Muara tersebut, di dapati lokasi kesalahan kesalahan berkenaan dijalankan antara lain tertumpu di kawasan – kawasan perniagaan dan perusahaan yang telah dikenalpasti.  

Sebagai langkah pertama di dalam menanggani ketidakpatuhan serta penguatkuasaan  peraturan berkenaan, pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa akan melaksanakan program Jerayawara Penguatkuasaan yang akan diadakan secara berfasa bermula pada bulan Jun akan datang. Tujuan utama program jerayawara berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai jenis – jenis kesalahan yang boleh dikompaun, termasuk peraturan yang berkaitan. Pendekatan program jerayawara yang akan dijalankan tersebut adalah lebih memfokaskan kepada "educating the public before enforcing" yang mana akan menumpukan program jerayawara kepada para penghulu dan ketua kampong serta peniaga dan pengusaha sebagai kumpulan sasaran utama.


Majlis Perasmian Program Jerayawara Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perancangan Bandar Dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 -  Kesalahan Kompaun telah pun diadakan di Dewan Bertabur, kementerian Pembangunan. Tetamu Kehormat Majlis adalah Yang Mulia, Dr. Nor Imtihan Binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah Dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan selaku tetamu kehormat majlis dan Autoriti Perancang. Turut hadir ke majlis tersebut adalah Yang Mulia Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Professional), Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Pegawai – Pegawai Daerah, Pengerusi Pengerusi Lembaga Bandaran, wakil dari agensi agensi kerajaan berkepentingan, serta jemputan khas yang terdiri dari ahli dewan- dewan perniagaan  di Negara Brunei Darussalam.

Di dalam ucapan alu aluan Tetamu Kehormat Majlis, kepentingan pendekatan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh, sepadu, konsisten serta adil adalah merupakan critical success factor di dalam memantapkan tindakan penguatkuasaan dan meningkatkan kadar pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Perancangan Bandar Dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 -  Kesalahan Kompaun.  Pendekatan ini adalah dikira sangat relevan dan signifikan, mengambilkira usaha mewujudkan persekitaran kemajuan yang lebih teratur dan selamat adalah merupakan tanggungjawab bersama di antara agensi kerajaan, swasta dan pihak orang ramai amnya di dalam  menjana ekosistem perkembangan ekonomi dan sosial  yang lebih progressif, dinamik dan berdayatahan, seiring dengan matlamat strategik Wawasan Negara 2035 dalam meningkatkan kualiti kehidupan yang bermutu tinggi serta Ekonomi yang dinamik dan berdayatahan.


Majlis juga turut disikan dengan tayangan Video mengenai kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun dan disusuli dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Dayang Nurizzatul Izzah Hj Abd Rahman, Pegawai Perancang Bandar dan Desa. Majlis juga diisikan dengan sesi pameran kesalahan kesalahan yang melanggar Peraturan Perancang Bandar 2015 ber tempat di ruang ligar, Tingkat 1 Kementerian Pembangunan. Sesi pameran dibukakan kepada para jemputan yang hadir bagi membukakan peluang dan ruang sesi dialog dan soal jawab serta penerangan lanjut oleh pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

 Tarikh: 29 Sya'ban 1442H / 12 April 2021M
JABATAN PERANCANG BANDAR DAN DESA 
Kementerian Pembangunan
Bandar Seri Begawan BB3913, Brunei Darussalam


Attachments