Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN JABATAN PERANCANG BANDAR DAN DESA

Majlis Perasmian Konvensyen Jabatan Perancang Bandar dan Desa 2016 bersempena  dengan Hari Perancangan Bandar Sedunia telah diadakan pada 8 Safar 1438H bersamaan dengan 8 November 2016M di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.
 

Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah, Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan memberikan ucapan perasmian dan seterusnya melancarkan dua sistem secara atas talian atau online iaitu Sistem Elektronik Kebenaran Perancangan atau e-KP dan Sistem Elektronik Pemilihan Tapak atau e-3S yang direkacipta oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa secara dalaman. 

Tujuan pengenalan kedua-dua sistem tersebut adalah untuk memudahkan dan mempercepatkan proses menghadapkan permohonan Tapak dan permohonan Kebenaran Perancangan di pihak pemohon.

Bagi Jabatan Perancang Bandar Dan Desa, kedua-dua sistem mampu memperkasa sistem kerja kedua-dua proses permohonan tapak projek dan kebenaran perancangan. Sistem secara elektronik ini dapat mengurangkan masa proses, meningkatkan mutu kerja dan menjimatkan penggunaan sumber tenaga manusia, perkakasan dan peralatan pejabat.

Sistem e-KP membolehkan Qualified Persons atau QPs menghadapkan permohonan secara elektronik tanpa hadir ke kaunter Jabatan. Sementara di pihak Jabatan, proses penelitian akan menjadi mudah dan cepat dengan penggunaan alat bantu elektronik yang membolehkan parameter perancangan dianalisis secara berkomputer, berbanding dengan kaedah manual yang mengambil masa dan menggunakan banyak sumber.

Manakala sistem e-3S membolehkan pemohon menghadapkan permohonan dan memberikan ulasan persetujuan atau sebaliknya terhadap tapak yang dikenalpasti secara elektronik. Jabatan Perancang Bandar dan Desa juga dapat memproses dan mengedarkan cadangan tapak yang dikenalpasti untuk ulasan, pandangan dan persetujuan ahli-ahli Jawatankuasa Kecil Pemilihan Tapak secara atas talian.

Kedua-dua sistem e-3s dan e-KP membolehkan pemohon dan QPs untuk memantau status permohonan masing-masing melalui sistem-sistem tersebut.  Makluman melalui sistem pesanan ringkas atau SMS juga akan dihantar secara automatik apabila permohonan diterima, apabila penyelarasan diperlukan dan apabila permohonan diluluskan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Kedua-dua sistem tersebut juga membolehkan Jabatan Perancang Bandar dan Desa memantau Tekad Pemedulian Orang Ramai atau TPOR dan memantau prestasi ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan Tapak dan QP.

Tema sambutan pada tahun ini 'memperkasa sistem kerja ke arah menyumbang kepada perancangan bandar yang dinamik dan berdayatahan' mencakupi penambahbaikan kepada keseluruhan sistem kerja dengan memantapkan lagi proses dan prosedur sedia ada dengan kaedah pelaksanaan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak yang berkenaan, serta mengwujudkan garis panduan sistem atau tatacara kerja yang belum lagi tersedia.  Penambahbaikan juga merangkumi peningkatan kapasiti dan kemahiran kakitangan melalui pengurusan sumber tenaga manusia yang sistematik termasuklah rancangan penggantian, keperluan latihan dan pembangunan karier. Dengan sistem yang lebih effisien dan kakitangan yang lebih berkemahiran, perancangan bandar yang dinamik dan berdayatahan akan dapat dicapai.

Jabatan Perancang Bandar dan Desa juga telah mengaturkan beberapa  sesi taklimat dan bengkel bagi pegawai dan kakitangan Jabatan yang antara lain berkisar kepada meningkatkan pengetahuan terhadap etika kerja dan urustadbir yang baik, melaksanakan cadangan-cadangan pembaikan kepada sistem kerja sedia ada  dan mengadakan latihan bagi kedua-dua sistem yang direkabentuk kepada stakeholders yang berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Awang Shahrom bin Haji Suhaimi, Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa selaku Pengerusi Majlis, Ketua-ketua Jabatan dan pegawai-pegawai Kanan di bawah Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Attachments