Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

JABATAN PERANCANG BANDAR DAN DESA MERAIKAN HARI PERANCANGAN BANDAR SEDUNIA 2020


Hari Perancangan Bandar Sedunia disambut pada 8 November setiap tahun oleh lebih dari 30 buah Negara seluruh dunia. Sambutan ini diadakan adalah bertujuan untuk meraikan dan menghargai peranan perancangan guna tanah dalam pembangunan khususnya kearah mewujudkan persekitaran kemajuan yang menyeluruh, berkualiti dan berdayatahan, seiring dengan pembentukan masyarakat yang sejahtera dan progresif. Sambutan ini adalah merupakan aktibiti tahunan Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan sejak tahun 2006. Pada tahun ini, majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia di Negara Brunei Darussalam telah diadakan pada 19 November 2020 bertempat di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan.


Tema sambutan pada tahun ini adalah "Kemajuan Berperancangan dan Bersepadu, Persekitaran Berkualiti", yang antara lain menekankan kepentingan memastikan kemajuan yang akan dibina akan dapat diselaras secara berperancangan dan sepadu bagi mencapai matlamat strategik perancangan guna tanah di dalam mewujudkan persekitaran kemajuan yang menyeluruh, berkualiti dan berdayatahan, seiring dengan pembentukan kehidupan masyarakat yang sejehtera dan progresif. Terdapat dua (02) komponen utama yang mendokong matlamat strategik tema ini. Pertama, adalah untuk memberikan keutamaan kepada perlunya menyediakaan pelan pelan pembangunan yang komprehensif, bersifat dynamic serta relevan dengan kehendak kemajuan semasa untuk dijadikan sebagai rujukan dan panduan di dalam merancang mana mana kemajuan bagi kawasan kawasan tertentu, di samping untuk memastikan penyediaan infrastruktur dokongan yang mencukupi di dalam mencapai objektif penggunaan tanah yang optima. Kedua, adalah menitikberatkan kepentingan di dalam memantapkan penyelarasan kemajuan dan tindakan penguatkuasaan secara sepadu melalui pematuhan undang undang atau peraturan perancangan tertentu, termasuk mengadakan kolaborasi dengan pihak pemegang teras, pihak berkepentingan serta lapisan masyarakat di dalam sama sama mewujudkan persekitaran kemajuan yang selamat, berkualiti tinggi dan teratur.

Tetamu Kehormat Majlis pada hari tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Menteri Pembangunan telah berkesudian memberikan ucapan perasmian dan seterusnya melancarkan dua Garispanduan Perancangan baru dan satu Garispanduan Supplimentari Perancangan iaitu masing masing bertajuk Garis Panduan dan Piawaian Perancangan bagi Pemecahan dan Penyatuan Strata, Garis Panduan dan Piawaian Perancangan bagi Kemajuan Sekolah dan Pusat Penjagaan Kanak-kanak serta Garis Panduan Supplimentari Perancangan bagi Kemajuan Strata (Perumahan).


Garis panduan dan piawaian perancangan berkenaan adalah dihasratkan akan dapat dijadikan sebagai panduan dan rujukan dalam membantu agensi kerajaan, agensi swasta dan pemilik tanah dalam menghadapkan permohonan Kebenaran Perancangan bagi kemajuan pemecahan dan penyatuan strata, kemajuan sekolah dan pusat penjagaan kanak-kanak ke Jabatan Perancang Bandar dan Desa. Dalam pada itu, Garispanduan Supplimentari Perancangan bagi kemajuan strata (perumahan) juga turut menyenaraikan tiga insentive perancangan bagi kemajuan perumahan baru yang boleh dipohonkan oleh pemilik tanah jika memenuhi kriteria-kriteria tertentu seperti yang dinyatakan di dalam supplimentari tersebut. Penyediaan garis panduan-garis panduan tersebut adalah merupakan antara sumbangan perancangan bandar khususnya bagi membuka berbagai peluang kemajuan dalam sama sama menyumbang di dalam mewujudkan persekitaran kemajuan yang kondusif bagi mencapai tiga matlamat strategik Wawasan Negara 2035 – Rakyat yang Berpendidikan Tinggi, Berkemajiran dan Berjaya; Rakyat mempunyai kualiti kehidupan yang Tinggi; Serta Ekonomi Negara yang Dinamik dan Berdayatahan.

Bersempena dengan Hari Perancang Bandar Sedunia dan selaras dengan tema tahun ini, antara aktibiti sambutan sampingan adalah penyalaan lampu berbagai warna (kuning - perumahan, merah - perniagaan, ungu – perusahaan, biru – kemudahan komuniti/kerajaan dan hijau – rekreasi/kawasan hijau) pada malam 07 November dan 08 November di Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien dan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha. Warna-warna yang dipilih adalah berkaitan dengan warna-warna zon perancangan guna tanah di pelan-pelan pembangunan. Warna-warna ini dinyalakan bersama sebagai menunjukkan kepentingan kemajuan yang berbagai/bercampur dan sepadu di dalam mewujudkan kemajuan bandar dan desa yang berkualiti.

Turut hadir di Majlis tersebut ialah Yang Mulia Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin, Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap – Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Pengerusi-Pengerusi Lembaga Bandaran, Pegawai-Pegawai Daerah, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Pihak Orang yang Berkelayakan dan Juruukur Tanah Berlesen.


Attachments