LAWATAN KERJA MENTERI PEMBANGUNAN

KE TEMPAT –TEMPAT YANG DILANDA BANJIR DI KUALA BELAIT

 

  

 

 

 
 

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Awang Haji Bakar, Menteri Pembangunan bersama rombongan, mengadakan lawatan ke beberapa tempat yang dilanda banjir di  Kuala Belait.  Tujuan lawatan adalah untuk meninjau dan memastikan Jabatan dalam melaksanakan tindakan-tindakan kawalan banjir  yang tertentu untuk menangani kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir.

Rombongan mula-mula membuat lawatan ke Stesen Pam No.1, Stesen Pam No.2 dan Stesen Pam No.3.  Pam-pam ini berfungsi untuk mencegah berlakunya banjir yang disebabkan oleh hujan lebat. Tiap-tiap pam di rekabentuk untuk pengeluaran air dengan menggunakan operasi sistem automatik tertakluk kepada keadaan banjir.  Walaubagaimanapun semasa lawatan tersebut, kelihatan pembuangan sampah sarap di sungai-sungai berkenaan oleh orang ramai yang tidak bertanggung jawab telah mengakibatkan berlakunya kerosakan kepada pam-pam tersebut.  Oleh yang demikian, adalah diseru kepada orang ramai tidak akan membuang sampah sarap dengan sewenang-wenangnya.

Lawatan diteruskan ke Projek Pencegahan Banjir Pekan Seria.  Projek bernilai $10 juta pada masa ini 30% dalam perlaksanaan dan dijangka akan siap pembinaannya pada bulan hujung tahun 2007.  Rombongan juga berkesempatan melawat Steysen Pam Brunei Shell Petroleum dan berakhir dengan meninjau ke Pasar Pekan Seria yang juga dilanda banjir.   Yang Berhormat Pehin Menteri mengarahkan Jabatan Kerja Raya supaya mengambil tindakan segera keatas kawasan-kawasan yang terjejas terutama pembersihan keatas longkang utama bagi pengaliran air di kawasan berkenaan.  Adalah difahamkan punca kepada banjir tersebut adalah disebabkan keadaan semulajadi yang sedia ada bekeadaan mendatar menyebabkan air bertakong walaupun hujan telah reda.

Turut bersama-sama dalam rombongan Yang Mulia Dato Paduka Dr. Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein, Timbalan Menteri Pembangunan,   Yang Mulia Awang Haji Mohd Said bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim, Setiausaha Tetap (Teknikal & Professional), Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Setiausaha Tetap (Pentadbiran & Kewangan), Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.