20hb Ogos 2022, sebanyak 6 buah syarikat yang berlokasi di Mukim Kilanas telah dikenakan denda kompaun bagi kesalahan pertama kerana melanggar Peraturan – Peraturan Perancangan Bandar dan Desa [Komposisi Kesalahan], 2018 semasa Operasi OPKEMAS kali ketiga bagi tahun 2022 yang telah dijalankan oleh pihak Autoriti Perancang, Jabatan Perancang Bandar dan Desa. Syarikat - syarikat berkenaan telah diberikan tempoh tujuh (7) hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda tersebut.
Antara pelanggaran adalah meliputi kegiatan meletakkan, menggunakan, menghalang, mempamerkan barang di kawasan kaki lima premis perniagaan, tempat letak kereta, kawasan driveway premis perniagaan dan perusahaan. Kesalahan - kesalahan ini boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat dan kawasan sekitarnya.
Pihak Autoriti Perancang melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan mengingatkan orang awam, pemilik-pemilik perniagaan dan perusahaan untuk mematuhi undang-undang perancangan dengan mendapatkan Kebenaran Perancangan untuk setiap kemajuan dan penggunaan tanah. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline Jabatan Perancang Bandar dan Desa di 8200222.